
Felda dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan mesyuarat lembaga itu yang diadakan Khamis lalu demi kepentingan dan kebaikan kedua-dua pihak.
Jawatankuasa itu dipengerusikan Ahli Lembaga Felda, Datuk Dr Yusof Ismail yang mewakili Kementerian Kewangan dan dianggotai Ahli Lembaga Felda, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang mewakili Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengarah Besar Felda, Datuk Ab Ghani Mohd Ali serta Datuk Zainal Abidin Abu Hassan selaku wakil JPM.
“Felda juga akan memohon kepada kerajaan untuk melantik seorang wakil daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), JPM di dalam jawatankuasa tersebut,” kata kenyataan itu.
Penubuhan jawatankuasa itu dibuat susulan perjanjian persefahaman yang ditandatangani Felda dan SPSB pada 15 Januari lalu, di mana pemaju SPSB secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik semua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos.
SPSB yang juga pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), turut bersetuju menyerahkan semua suratan hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula atas nama Felda.
Pada 21 Disember lalu, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.