
Jeffrey Kenney, seorang profesor pengajian agama di Universiti DePauw, Indiana, berkata sekarang ini kelihatan ada simbiosis antara Salafisme dan politik Malaysia, walaupun fahaman itu tidak semula jadi dalam budaya orang Melayu.
“Salafisme menakut-nakutkan dan melemahkan agama lain dan walaupun orang Melayu tidak mempercayainya secara keseluruhan, ia masih ada di situ,” katanya.
Beliau berkata Salafisme membantu golongan pelampau yang mempromosikan ketuanan Melayu menggunakan Umno sebagai pangkalan.
“Mereka yang bukan sebahagian daripada majoriti tidak akan rasa sebahagian daripada masyarakat dan walaupun saya rasa bukan itu perspektif Umno, kadang-kadang ia disampaikan sama ada secara lembut atau tidak lembut sama sekali.”
Kenney berkata ada kemungkinan pengaruh Salafi memudahkan populariti penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.
“Dia ada pesaan yang tentunya selari kerana dia menyatakan idea-idea pemurni. Dia juga suka buat provokasi,” kata Kenney dalam forum yang membincangkan masalah kontemporari yang dihadapi orang Islam, anjuran Islamic Renaissance Front.
Naik mengundang kontroversi di Malaysia berkenaan kenyataan yang dilihat menghina orang bukan Islam, tetapi mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia serta sarjana dan kumpulan tempatan, termasuk Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dan Perkasa.
Idea-idea Salafi sering dikaitkan dengan doktrin Wahabi yang lebih agresif yang diasaskan pada kurun ke-18 oleh sarjana Arab, Muhammad Abdul Wahhab.
Doktrin Wahabi dianggap asas ideologi Arab Saudi moden, dan menjadi ilham kepada banyak peraturan-peraturan ketat ke atas wanita di negara itu.
Kenney, yang mengkaji gerakan Islam di Mesir dan konflik sektarian dalam Islam berkata, ada perbezaan antara Salafisme kurun ke-19 dan Salafisme yang disebarkan pada 1960-an hingga 1990-an.
Beliau berkata Salafisme bertunjangkan perbezaan dan pertentangan bukan sahaja terhadap orang bukan Islam tetapi juga dalam Islam itu sendiri.