
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang berusia 45 tahun pagi semalam setelah disahkan oleh doktor bahawa kecederaan pada tangan anaknya itu berpunca daripada dirotan.
“Pada hari kejadian kira-kira 7.45 pagi, ibu mangsa menghantar anaknya ke taska di Taman Lindungan Bercham Indah dalam keadaan baik.
“Kira-kira 6.00 petang wanita berkenaan mendapati terdapat kesan luka pada tangan kanan anaknya sebelum diberitahu oleh 2 guru taska berkenaan bahawa mangsa menggaru tangannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ali berkata ibu mangsa bersama guru taska terbabit pergi ke sebuah poliklinik di Taman Ipoh Permai pada Jumaat dan diberitahu oleh doktor yang merawat bahawa tangan anaknya dijangkiti kuman akibat dirotan.
Sehubungan itu, Mohd Ali berkata ibu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bercham kira-kira pukul 10.00 pagi semalam dan pemilik serta penyelia taska juga telah tampil memberi keterangan.
Katanya hasil siasatan awal mendapati suspek seorang guru taska berumur 32 tahun mengaku merotan mangsa di tangan kanan sehingga bengkak.
Suspek juga diberhentikan kerja serta-merta bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
“Pihak polis akan memanggil suspek untuk memberi keterangan berhubung insiden tersebut,” katanya.