Fikiran tak rasional rumitkan pemahaman Islam, kata Farouk Musa

Fikiran tak rasional rumitkan pemahaman Islam, kata Farouk Musa

Pengarah IRF Ahmad Farouk Musa berkata orang Islam mengelak dari berfikir secara rasional kerana takut terlanggar ajaran yang dianggap ajaran Islam.

farouk-musa-muslim-3
KUALA LUMPUR: Aktivis Dr Ahmad Farouk Musa hari ini berkata pemikiran rasional harus memainkan peranan dalam menafsir ajaran Islam, walaupun ia bermakna menghayati semula hadis yang dianggap sahih.

Beliau berkata ramai orang Islam tidak bersedia untuk mendakap perkara itu.

“Bagi mereka, kalau rantaiannya sahih maka hadis itu tidak boleh disangkal walaupun tidak masuk akal,” kata Farouk di forum anjuran Islamic Renaissance Front hari ini.

Beliau berkata majoriti orang Islam tidak berfikir secara rasional dalam perkara agama.

Antara sebab sikap itu kerana takut menentang hadis, salah satu sumber utama pengetahuan tentang Islam selain Al-Quran.

Farouk memberikan contoh hadis di mana Nabi Muhammad dipetik sebagai berkata jika ada lalat dalam minuman, seseorang disaran menenggelamkan lalat itu dan kemudian membuangnya kerana salah satu sayap ada penyakit dan sayap lain ada ubat.

“Katakan ada sedikit kebenaran dalam perkara itu, bagaimana pula dengan kaki lalat?

“Demam kepialu terbesar dijangkitkan melalui kaki lalat,” kata Farouk, yang juga seorang pensyarah perubatan.

Farouk berkata golongan Muktazilah, satu kumpulan pemikiran di awal Islam yang mempromosikan rasionalisme, digantikan dengan kumpulan yang menolak rasional, yang digelar Asy’airah.

Beliau berkata golongan Asy’airah, di mana para sarjananya termasuk Imam Al-Ghazali pada kurun ke-12, percaya kepada “okasionalisme”, yang percaya semua pekara berlaku melalui pengaruh Tuhan secara langsung.

“Al-Ghazali kata kalau kamu letakkan kapas pada api, kapas itu terbakar bukan kerana api tetapi kerana Allah mahu ia terbakar,” kata Farouk.

Pandangan Farouk dicabar oleh seorang lagi speaker di forum hari ini, Ketua Eksekutif Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI) Amran Muhammad, yang berkata tidak adil melabel Asy’airah sebagai golongan tidak rasional.

Beliau berkata para saintis Islam yang muncul selepas Al-Ghazali, seperti Fakhr al-Din al-Razi dan Ibn Rushd (Averroes), juga sangat analitis.

Sementara itu, ahli sosiologi Syed Farid Alatas berkata konsep-konsep teras mengenai “okasionalisme” sama dengan beberapa konsep dalam fizik kuantum dan oleh itu tidaklah tidak rasional atau bertentangan dengan sains.

Namun begitu beliau alu-alukan perbincangan seperti ini kerana ia kekurangan di negara ini.

“Ada banyak perbincangan yang berlaku di serata dunia dan jenis perbincangan yang kita perlu lebih banyak lagi berlaku di Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.