Adun DAP: Ekonomi lebih baik untuk pekerja asing berbanding graduan

Adun DAP: Ekonomi lebih baik untuk pekerja asing berbanding graduan

Yeo Bee Yin berkata, kerajaan perlu menangani isu pengangguran belia dan guna tenaga tidak penuh, bukannya berpura-pura semua dalam keadaan baik.

Yeo-Bee-Yin_pekerja_600
PETALING JAYA:
Kegagalan kerajaan mewujudkan pekerjaan bergaji sesuai bermaksud ekonomi negara kini lebih baik untuk pekerja asing dalam bidang kemahiran rendah berbanding graduan universiti, kata wakil rakyat DAP, Yeo Bee Yin.

Susulan komen Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai graduan terpaksa menjadi pemandu Uber atau menjual nasi lemak untuk menyara hidup, adun Damansara Utama itu berkata, kadar pengangguran belia adalah isu serius di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, statistik Bank Dunia menunjukkan seorang daripada 4 graduan menganggur selepas 6 bulan tamat pengajian.

“Kadar pertumbuhan pekerjaan kemahiran tinggi tidak selari dengan kadar peningkatan tenaga kerja berpendidikan tinggi yang semakin tinggi,” katanya.

Sejak 2001 hingga 2015, katanya, peratusan pengambilan tenaga kerja untuk pekerjaan kemahiran rendah meningkat daripada 10.6% kepada 13.8%, manakala pengambilan tenaga kerja berkemahiran tinggi hanya meningkat daripada 24.3% kepada 25.5%.

“Ia jelas menunjukkan ekonomi negara mewujudkan pekerjaan kemahiran rendah pada kadar lebih cepat daripada pekerjaan kemahiran tinggi dan kita menghadapi kelompongan dalam pekerjaan kemahiran pertengahan.”

Selain pengangguran, Yeo berkata, guna tenaga tidak penuh atau kelulusan tinggi graduan tidak padan dengan pekerjaan mereka, juga satu masalah.

“Ramai graduan muda hari ini bekerja dalam bidang tidak sesuai dengan kelulusan, aspirasi dan gaji mereka.

“Negara membelanjakan sumber terhadnya untuk membiayai institusi pendidikan tinggi yang akhirnya graduan bekerja untuk gaji sangat rendah.”

Katanya, walaupun kerja keras dan inisiatif seseorang individu akan menentukan tahap pendapatannya, kerajaan perlu memperbetulkan kelemahan sistematik dan struktur ini.

“Khairy (Jamaluddin) dan ahli politik Barisan Nasional tidak patut menyembunyikan kepala mereka dalam pasir dan berpura-pura semuanya dalam keadaan baik, ketika anak muda kehilangan peluang mencapai aspirasi mereka dengan mendapat kerja lebih baik dan gaji sesuai,” katanya.

Beliau merujuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Isnin lalu berkata, tidak salah graduan memandu Uber atau menjual nasi lemak.

Ia susulan komen Dr Mahathir pada 17 Januari lalu yang kesal semakin ramai graduan berpendidikan tinggi terpaksa bekerja sebagai pemandu e-hailing atau menjual nasi lemak adalah bukti kegagalan kerajaan dalam mewujudkan lebih banyak kerja.

Graduan jadi pemandu Uber kerana tiada kerja sesuai

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.