Pelajar sekolah asrama penuh cedera dibelasah 15 senior

Pelajar sekolah asrama penuh cedera dibelasah 15 senior

Seorang pelajar tingkatan 4 yang tidak puas hati kerana diejek dan ditertawakan memanggil kira-kira 30 rakannya, di mana 15 daripada mereka memukul, menampar dan menendang mangsa serta 3 lagi rakannya.

buli_sekola_6001
GEORGE TOWN: Seorang pelajar lelaki tingkatan 2 sebuah sekolah berasrama penuh di Kepala Batas, dekat sini, cedera selepas dilaporkan dipukul lebih 15 pelajar tingkatan 4 sekolah itu awal pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, pelajar berusia 14 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 8.50 malam Ahad selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Kepala Batas.

“Menurut pelajar itu, kejadian berlaku kira-kira 3 pagi di tingkat 3 koridor asrama lelaki sekolah berkenaan dan ia dipercayai berpunca daripada salah faham sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati seorang pelajar tingkatan 4 kerana diejek dan ditertawakan,” katanya semalam.

Beliau berkata, pelajar tingkatan 4 itu bertindak memanggil kira-kira 30 rakannya dan 15 daripada mereka memukul, menampar dan menendang mangsa serta 3 lagi rakannya yang juga pelajar tingkatan 2 menyebabkan lebam dan calar di kaki serta badan.

Namun, katanya, hanya seorang pelajar yang tampil membuat laporan polis.

“Polis memanggil beberapa pelajar yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu semalam untuk direkodkan keterangan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis. Siasatan lanjut kes itu dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, seorang lelaki berusia 30-an cedera parah selepas dipukul sekumpulan lelaki menggunakan parang dan pedang samurai di depan sebuah pusat hiburan di Jalan Ong Yi How, Mak Mandin, dekat sini, pada 3.20 pagi kelmarin.

Beliau berkata, lelaki berusia 30-an itu dilaporkan dipukul selepas meminta seorang lelaki yang berada di belakang keretanya ke tepi kerana menghalang laluannya hendak mengeluarkan kenderaan yang diletakkan di situ.

“Suspek tiba-tiba berang dan memukul serta melibas mangsa menggunakan parang dan memanggil 4 lagi rakannya yang bersenjatakan pedang samurai. Mereka membelasah lelaki itu menyebabkannya cedera parah di muka, patah tangan kanan, koyak bahu kiri dan retak tulang bahu kiri,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan 2 lelaki berusia 30-an dalam 2 serbuan di Butterworth pada 11 malam Ahad dan usaha mengesan 3 lagi rakan mereka giat dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.