Gabungan Sabah bukan budak suruhan BN, kata Jeffrey Kitingan

Gabungan Sabah bukan budak suruhan BN, kata Jeffrey Kitingan

Presiden STAR berkata Parti Cinta Sabah terdesak menggunakan naratif tidak betul kerana sebenarnya tidak salah membincangkan isu dengan ahli politik BN.

Jeffrey-Kitingan
KOTA KINABALU:
Parti Cinta Sabah (PCS) patut lebih jujur dan ketepikan isu remeh dan naratif politik tidak betul jika mereka benar-benar mahu berjuang untuk Sabah, kata Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan.

Jeffrey bingung akan naratif PCS iaitu Gabungan Sabah ialah kumpulan parti-parti politik mesra BN yang digunakan oleh Barisan Nasional untuk memecahkan undi.

Beliau berkata tuduhan itu tidak berasas kerana pimpinan Gabungan terdiri daripada ahli politik yang matang dan bukannya orang tidak berpengalaman yang baru keluar hutan untuk mencari kekayaan melalui politik.

“Ini hipokrasi mental dan kecetekan fikiran jenis apa? Nampaknya PCS, yang tidak membawa isu penting, dan takut pada Gabungan, tidak habis-habis bercakap tentang naratif tidak betul itu,” kata Adun Bingkor itu.

“Saya berusaha menghidupkan semula hak dan autonomi Sabah sejak 40 tahun lalu dengan berbincang bersama pemimpin-mimpin negeri dan nasional, termasuk bertemu perdana menteri dan membentangkan pandangan di forum anjuran Universiti Malaysia Sabah yang dipengerusikan oleh (menteri luar negeri) Datuk Seri Anifah Aman. Itu bagi saya langkah ke arah yang betul, tanda kematangan politik.

“Seorang pemimpin berpengalaman patut boleh berbincang dengan semua pihak, termasuk musuh-musuhnya. Sebagai seorang wakil rakyat, dia perlu boleh tangani dan melibatkan diri dengan pemimpin lain tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan. Di Dewan Undangan Negeri, kami, termasuk (presiden PCS) Datuk Wilfred Bumburing, berinteraksi dan bergesel bahu dengan menteri-menteri untuk menyelesaikan masalah rakyat. Adakah itu menjadikan kami ejen BN?”

Beliau menjawab dakwaan terbaharu Bumburing yang mendakwa Gabungan hakikatnya gabungan pro-BN.

Jeffrey berkata PCS sangat terdesak untuk meneruskan hidup dalam lautan politik sehingga terpaksa melempar tuduhan kebudak-budakan terhadap Gabungan. STAR adalah parti komponen Gabungan.

Jeffrey berkata PCS menggunakan naratif itu sejak meninggalkan Gabungan, menjadikan alasan itu sebab mereka keluar daripada satu-satunya gabungan politik parti-parti pembangkang tempatan di Sabah.

“PCS perlu terus menegakkan naratif itu bagi menutup sebab sebenar mereka meninggalkan gabungan ini. Mereka berharap dapat bersama Parti Warisan Sabah,” kata Jeffrey.

“Malangnya buat PCS, beberapa hari selepas itu, Warisan mengumumkan mereka akan bertanding semua kerusi di Sabah, maknanya mereka tiada hasrat untuk bekerjasama dengan PCS.

“Sekarang PCS mahu berikan gambaran Warisan mahu bekerjasama dengannya, tetapi mana mungkin kalau Warisan bertanding di semua 60 kerusi?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.