4 kereta pegawai kanan Kastam disyaki sengaja dibakar

4 kereta pegawai kanan Kastam disyaki sengaja dibakar

Ketua polis daerah Putrajaya berkata, siasatan awal mendapati ada unsur khianat kerana kepala tukul ditemui di bahagian belakang Mercedes Benz dan pemetik api dijumpai di lantai.

kereta-kastam-terbakar
PUTRAJAYA: Empat kenderaan milik keluarga seorang pegawai kanan Kastam terbakar di depan rumah kuarters yang didiaminya di Presint 11, di sini, awal hari ini dipercayai akibat perbuatan khianat.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, bahagian depan rumah Penolong Kanan Pengarah Kastam Penguat Kuasa GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Nur Azman Mat Jini hampir musnah akibat kenderaan yang terbakar.

Rumah itu didiami 6 orang iaitu mangsa, isterinya, anak perempuan, menantu lelaki dan 2 cucunya.

Dua kenderaan hangus iaitu sebuah Mercedes Benz milik isteri mangsa dan Perodua MyVi milik anak perempuannya, manakala 2 lagi kenderaan, iaitu Honda CRV milik mangsa dan Proton Saga milik menantunya terbakar di bahagian depan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan ketika dihubungi berkata, siasatan awal terhadap kes berkenaan mendapati ada unsur khianat.

Katanya, barang kes khianat yang disyaki dijumpai di tempat kejadian, iaitu kepala tukul di bahagian belakang Mercedes Benz dan pemetik api di lantai.

Rosly berkata, kertas siasatan terhadap kejadian itu dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu khianat dengan api.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Md Hilman Abd Rashid berkata, bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran.

Isteri mangsa, Noorhayati Khairuddin berkata, beliau dan suaminya tersedar daripada tidur selepas mendengar jeritan jiran yang meminta mereka segera menyelamatkan diri.

“Saya dan suami berada di bahagian atas terus turun ke bawah untuk kejutkan anak, menantu dan 2 cucu.

“Ketika kejadian, api mula marak di bahagian depan dan asap tebal mula menyelubungi tingkat bawah rumah sepenuhnya sehingga menyukarkan kami untuk menyelamatkan diri. Kami sekeluarga menyelamatkan diri ikut pintu belakang rumah,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya yang ditemui dalam sidang media mengenai penyeludupan rokok, berkata pihaknya menyerahkan siasatan kes itu kepada pihak berkuasa.

Ditanya adakah pegawai berkenaan pernah menerima sebarang ugutan, beliau berkata, masih tiada maklumat mengenai perkara itu.

“Soal ugutan memang biasa diterima pihak Kastam, namun itu bukanlah penghalang kami untuk menjalankan tugas memungut hasil negara. Kita tak boleh gentar dengan sebarang ugutan yang diterima.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.