Sultan Johor campur tangan selesai isu roboh kuil 80 tahun

Sultan Johor campur tangan selesai isu roboh kuil 80 tahun

Sultan Johor dan Tunku Idris Iskandar turut menawarkan bantuan wang tunai RM100,000 dan RM70,000 sebagai kos pemindahan kepada jawatankuasa kuil itu.

sultan-johor-teple-600
PETALING JAYA:
Sultan Johor hari ini berperanan sebagai pendamai untuk menyelesaikan kontroversi perobohan sebuah kuil Hindu berusia 80 tahun di Bandar Seri Alam di Masai, Johor, awal bulan ini.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menemui beberapa wakil Persatuan Penganut Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar yang turut ditemani Exco Johor, R Vidyananthan di Istana Bukit Pelangi.

Turut hadir ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hasil pertemuan itu, Sultan Ibrahim memberi jaminan akan memastikan kerajaan negeri menyediakan satu lokasi baharu untuk pembinaan kuil itu.

Sultan Johor dan Tunku Idris Iskandar turut menawarkan bantuan wang tunai RM100,000 dan RM70,000 sebagai kos pemindahan kepada jawatankuasa kuil itu.

“Baginda menggesa semua pihak memberi kerjasama penuh bagi menyelesaikan perkara ini secara baik, sambil menambah ia tidak perlu diperbesar-besarkan lagi,” demikian catatan di Facebook.

Pada 12 Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kesal dengan perobohan kuil itu menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan dan maklumat yang tidak tepat.

Beliau dilaporkan berkata, pemilih tanah itu beberapa kali menghantar notis dan amaran kepada pihak pengurusan kuil berkenaan sejak 2015.

Kerana tidak mendapat kerjasama daripada pengurusan kuil itu, pemilik tanah bertindak mendapatkan perintah mahkamah untuk merobohkan kuil berkenaan pada 31 Julai 2017 dan ia dirobohkan pada 11 Januari lalu.

Kerajaan Johor kemudiannya menawarkan sebidang tanah baharu yang dirizabkan sebagai tapak kuil di Jalan Persisiran, Seri Alam kepada kuil itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.