
Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya bersama pengurusan kuil itu mencapai kata sepakat mengenai perkara itu selepas melawat tapak seluas 0.404 hektar yang diberikan kerajaan Johor di kawasan Seri Alam hari ini.
“Kita harap masyarakat India tidak terlalu emosi dalam berdepan isu tersebut dan pada umumnya menerima penyelesaian ini dengan sebaiknya,“ katanya pada Majlis Transformasi Rumah Ibadat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Masai, hari ini.
Justeru, katanya, MIC ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas kesudian mereka menyediakan tanah bernilai tinggi kepada pengurusan kuil terbabit.
Kuil berusia 80 tahun itu mencetuskan kontroversi kerana dirobohkan selepas pemilik sah tanah itu mendapat perintah mahkamah setelah semua rundingan dengan pengurusan kuil itu menemui kegagalan.
Dalam isu berkaitan, Dr Subramaniam yang juga menteri kesihatan berkata, pihaknya juga bakal mengadakan sesi dialog bersama persatuan India dalam masa terdekat bagi membincangkan isu seperti ini agar ia tidak berulang pada masa akan datang.
Mengenai isu lain, beliau berkata, sebanyak 6 kuil akan dijadikan perintis kepada program transformasi tempat ibadat di seluruh negara.
Katanya, program itu bertujuan memastikan kuil dalam negara dapat menjalankan aktiviti kemasyarakatan supaya menjadi ejen perubahan masyarakat, selain program berbentuk keagamaan.
“Beliau berkata program tersebut akan diperluaskan ke semua kuil di seluruh negara, jika projek perintis itu berjaya membawa perubahan kepada sosioekonomi masyarakat India.”