4 penunggang, pembonceng motosikal maut di PLUS

4 penunggang, pembonceng motosikal maut di PLUS

Kedua-dua motosikal yang dalam perjalanan dari Simpang Pulai ke Ipoh, bergesel sesama sendiri dalam kelajuan agak tinggi sebelum terbabas dan melanggar bahagian belakang sebuah Proton Iswara.

eksiden
IPOH: Empat maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan 2 motosikal dengan sebuah kereta di KM278.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi tadi.

Mereka yang maut dalam kemalangan kira-kira 5.36 pagi itu dikenali sebagai Mohamad Hafiz Jabon, 33; Rafiq Hafizi Rahimi, 21; Muhsin Muhamad Wazer, 23, dan Mohamad Syarif Mohamad Said, 30.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Thamby berkata, dalam kejadian tersebut, Rafiq Hafizi yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja dan Syarif penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ maut di lokasi kejadian.

Katanya, Hafiz dan Muhsin yang merupakan pembonceng kedua-kedua motosikal terbabit meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

“Hasil siasatan awal yang diperoleh daripada seorang lelaki yang juga pemandu kenderaan jenis Proton Iswara terbabit, semasa kejadian itu, kedua-dua motosikal dalam perjalanan dari Simpang Pulai ke Ipoh.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal terbabit bergesel sesama sendiri dalam kelajuan agak tinggi sebelum terbabas dan melanggar bahagian belakang Proton Iswara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemandu Proton Iswara tidak mengalami sebarang kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.