Sumpah kami bukan sumpah PAS, Amanah pertimbang ba’aih halang lompat

Sumpah kami bukan sumpah PAS, Amanah pertimbang ba’aih halang lompat

Amanah tidak merancang mengenakan penalti wang ringgit bagi menghalang wakil rakyatnya lompat parti selepas menang PRU.

khalid-samad-amanah
PETALING JAYA: Selepas PPBM menyatakan hasrat mengadakan kontrak menghalang calonnya daripada melompat parti, Amanah berkata ia juga sedia mempertimbangkan jaminan seumpama itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata ia boleh dilakukan dalam bentuk sumpah bai’ah, sambil menambah perjanjian demikian jauh berbeza dengan bai’ah yang dibuat wakil rakyat PAS.

“Bai’ah sebagaimana janji, mungkin akan ada. Tetapi tidaklah sampai ke tahap talak seperti mana yang diamalkan oleh PAS itu dan kalau ada pun bai’ah, ianya melibatkan kita sesama kita dan kita dengan Tuhan,” katanya kepada FMT, dipercayai merujuk kontrak kontroversi PAS mengikat wakil rakyatnya kekal dalam parti.

Lafaz taklik dan sumpah bai’ah yang diwajibkan ke atas calon PAS di Kelantan pada PRU antara lain menghendaki mereka yang memenangi kerusi kekal dengan parti itu, atau menceraikan isteri mereka dengan talak tiga.

Ia diperkenalkan ketika PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995 apabila kerajaan Kelantan berdepan cabaran ekoran tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Beberapa pemimpin Amanah sebelum ini didakwa melanggar bai’ah tersebut, termasuk Adun Salor, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Sebelum ini, PPBM berkata ia mengkaji kontrak menghalang lompat parti di kalangan wakil rakyat yang menang PRU nanti, termasuk mengenakan penalti RM20 juta.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Tariq Ismail berkata, langkah itu juga boleh melindungi Pakatan Harapan (PH) jika mereka memenangi PRU14.

Ini kerana PPBM tidak menolak kemungkinan ahli Parlimen PH ditawarkan wang untuk melompat parti.

Khalid berkata, Amanah tidak bercadang mengikat bakal calonnya dengan hukuman wang ringgit seperti PPBM.

“Kita ada cara masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, Khalid berkata beliau yakin dengan komitmen pemimpin Amanah.

“Kita rasa tidak mugkin mereka lompat parti kalau ada tawaran,” katanya.

Sementara itu, PKR berkata ia tidak akan mengikut jejak PPBM mengenakan penalti RM20 juta bagi mengikat calonnya.

Tetapi Naib Presiden PKR, Tian Chua enggan membutirkan caranya.

“Kita ada mekanisme kita sendiri,” katanya.

Difahamkan, PKR mempunyai kontrak serupa yang perlu ditandatangani calonnya pada PRU 2013, di mana ahli yang melanggar kontrak mesti membayar sejumlah pampasan kepada parti.

PPBM kaji penalti RM20 juta elak wakil rakyat lompat parti

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.