
Pengerusi Felda itu mendakwa sokongan dan keyakinan mulai kembali kepada agensi itu selepas isu tanah selesai.
“Saya dah kata ini masalah terakhir bagi Felda. Saya tengok pegawai dan pengurusan, air muka peneroka semuanya nampak positif.
“Mereka tidak lagi marah-marah, ceria. Mereka mula yakin pada lembaga pengarah dan saya selaku pengerusi,” katanya seperti dilaporkan portal rasmi PRU14 Barisan Nasional, The Rakyat hari ini.
Isnin lalu, Felda dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) menandatangani perjanjian persefahaman mengembalikan hak milik semua 16 lot tanah di Jalan Semarak yang dipindahkan dalam 4 transaksi jual beli pada Disember 2015 dan November 2016, kepada agensi itu tanpa sebarang kos.
Bagaimanapun, Shahrir dilaporkan berkata, siasatan polis dan audit forensik yang dijalankan sebuah firma audit luar ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak akan diteruskan.
Mengulas lanjut, Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bharu berkata, keyakinan institusi kewangan terhadap Felda juga lebih positif sekarang.
“Institusi kewangan sudah mula yakin. Dulu hendak beri pinjaman kepada kita dengan pelbagai syarat. Kini, mereka dah mula minat untuk memberi pinjaman.”
Katanya, SPSB memulangkan tanah itu tanpa sebarang kos kerana mereka tidak memerlukannya.
“Dengan surat kuasa wakil (PA) saja, mereka dah dapat perintah pembangunan untuk mendirikan menara yang pertama dan mereka juga dah ada pajakan selama 20 tahun terhadap menara tersebut.
“Jadi, syarikat mereka dah stabil, mengapa perlu tukar milik tanah itu. Itu yang kita tertanya-tanya,” katanya.
Shahrir berkata, SPSB perlu menanggung akibat memindahkan hak milik tanah itu.
“Synergy Promenade tak terjejas. Kalau nak terjejas pun ia kerana perbuatan mereka sendiri, bukan siapa pun suruh. Mereka yang pandai-pandai tukar tanah kepada milik mereka, kesannya mereka kena tanggunglah,” katanya.
Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.
Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.
Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.