Apa balasan untuk Synergy Promenade kembalikan tanah Felda?

Apa balasan untuk Synergy Promenade kembalikan tanah Felda?

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan dan Pemuda Amanah berkata, tidak logik syarikat itu memulangkan tanah tanpa sebarang kos dan balasan.

Mazlan-Aliman_Faiz-Fadzil_felda_600
PETALING JAYA:
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta pengerusi Felda mendedahkan balasan yang dijanjikan kepada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) untuk menyerahkan hak milik tanah di Jalan Semarak tanpa sebarang kos.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, tidak masuk akal pemaju itu sanggup mengembalikan 16 lot tanah yang dibeli pada harga RM270 juta tanpa sebarang syarat.

“Tidak logik untuk syarikat tersebut menyerahkan semula tanah tersebut tanpa sebarang balasan. Untuk apa mereka perlu menanggung kerugian sebanyak RM270 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Felda dan SPSB menandatangani perjanjian persefahaman untuk mengembalikan hak milik semua 16 lot tanah di Jalan Semarak yang dipindahkan dalam 4 transaksi jual beli pada Disember 2015 dan November 2016, kepada agensi itu tanpa sebarang kos.

Bagaimanapun, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad dilaporkan berkata, siasatan polis dan audit forensik yang dijalankan sebuah firma audit luar ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak akan diteruskan.

Katanya, laporan polis yang dibuat pada 12 Disember dan 28 Disember lalu di bawah Seksyen 420 serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan juga tidak akan ditarik balik.

Mazlan dan Faiz turut mempersoalkan kenyataan Shahrir pada 21 Disember lalu, Felda tidak mendapat satu sen pun daripada transaksi tanah bernilai RM270 juta itu.

“Maka, persoalan seterusnya siapakah sebenarnya yang menerima bayaran RM270 juta untuk pindah milik tanah Felda tersebut?

“Mana-mana individu atau pihak pengurusan Felda yang melakukan perbuatan jenayah hendaklah didakwa memandangkan transaksi tersebut dicemari unsur fraud (penipuan).”

Mereka berdua turut mempertikaikan dakwaan Shahrir semalam yang Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam pemindahan hak milik tanah Felda itu.

“Perdana menteri adalah menteri yang bertanggungjawabke atas Felda dan pelupusan aset Felda yang mana memerlukan kelulusan perdana menteri.

“Seksyen 3(3)(C) dan 3(3)(Ca) Akta Pembangunan Tanah 1956 memerlukan Felda mendapatkan kelulusan menteri yang bertanggungjawab untuk memasuki apa-apa perjanjian dengan pemaju.”

Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

Felda akui transaksi tanah berlaku, tapi tidak terima 1 sen pun

NGO PAS: Pulang tanah Felda di Jalan Semarak sandiwara PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.