
Beliau berkata pihaknya sejak awal lagi mengambil langkah-langkah yang perlu bagi melindungi dan mengambil semula harta Felda itu.
“Sejak dapati tanah milik Felda dipindah kepada pemaju, kita telah usaha letakkan kaveat bagi melindungi tanah Felda. Kita telah lakukan pelbagai usaha termasuk berbincang dengan lembaga pengarah Felda, kemuka cadangan kepada perdana menteri, berjumpa peguam negara dan membuat laporan polis.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas serahan memorandum bantahan kepada Kesatuan Eropah membantah cadangan mengenakan sekatan ke atas minyak sawit Malaysia.
Semalam, Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) yang mempunyai kaitan dengan PAS mendakwa tindakan Syrnergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) mengembalikan tanah itu tanpa sebarang kos ialah sandiwara Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-14.
Ketuanya, Roslan Md Isa berkata pemulangan tanpa sebarang kos adalah tidak masuk akal, dan mempertikaikan mengapa tiada tindakan diambil terhadap Tan Sri Isa Samad, yang merupakan pengerusi Felda ketika pindah hak milik tanah itu berlaku pada 2015.
Semalam, Felda dan SPSB menandatangani satu perjanjian persefahaman untuk mengembalikan hak milik semua 16 lot tanah di Jalan Semarak yang dipindahkan dalam 4 transaksi jual beli pada Disember 2015 dan November 2016 kepada Felda tanpa sebarang kos.
Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.
Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.
Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.
Shahrir, yang dilantik menjadi pengerusi Felda 6 Januari lalu, berkata beliau hanya menyedari pertukaran hak milik tanah Felda itu pada akhir Januari tahun ini. Menurut Shahrir, Felda tidak mendapat sesen pun daripada penukaran hak milik itu.
BH melaporkan nilai semasa tanah itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 dalam perjanjian jual beli tanah antara Felda dan SPSB.
Semalam, Shahrir berkata siasatan polis dan audit forensik oleh firma audit luar ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang dibangunkan atas tanah itu masih diteruskan.
Katanya, laporan polis yang dibuat pada 12 Disember dan 28 Disember lalu di bawah Seksyen 420 serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan juga tidak ditarik balik.