Bicara serentak kes pengubahan wang haram Jabatan Air Sabah 30 Jan

Bicara serentak kes pengubahan wang haram Jabatan Air Sabah 30 Jan

SPRM memohon perbicaraan bekas timbalan pengarah dan pengarah JANS serta 2 yang lain yang terlibat kes pengubahan wang haram dibicarakan serentak.

sabah-water
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 30 Januari untuk membuat keputusan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya perbicaraan kes bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Teo Chee Kong yang dituduh terlibat kes pengubahan wang haram dibicarakan serentak dengan kes bekas Pengarah JANS dan isterinya dan seorang lagi bekas timbalan pengarah JANS yang turut dituduh terlibat kes pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat membuat keputusan berkenaan selepas pasukan peguam yang mewakili Teo membantah permohonan pasukan peguam SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Farez Rahman dalam prosiding hari ini.

Abu Bakar memerintahkan pihak pendakwaan mengemukakan penghujahan bertulis mereka kepada pihak peguam pembelaan selewatnya-lewatnya pada 21 Januari manakala selewat-lewatnya 25 Januari ditetapkan bagi pihak pembelaan untuk menjawab hujahan pihak pendakwaan.

Teo, 52, yang kelihatan tenang di kandang tertuduh dan diwakili Peguam Roland Cheng dan Hamid Ismail menghadapi 146 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM32 juta berkaitan projek di Jabatan Air Negeri Sabah sejak 2010 hingga 2016.

Menurut kertas pendakwaan, 78 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 iaitu kesalahan memiliki 70 bidang tanah hasil aktiviti haram melalui 78 transaksi bernilai RM12,705,203.

Sejumlah 68 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATPUAA) 2001 iaitu 6 kesalahan memiliki wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM7,930,810 dan 62 kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil aktiviti haram di lapan institusi kewangan berjumlah RM12,287,240.

Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, Fauziah Piut, 51, dan seorang lagi bekas Timbalan pengarah JANS Lim Lam Beng, 62, pada tahun lalu mengaku tidak bersalah atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM61.57 juta.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar juga membenarkan permohonan Awang Mohd Tahir dan isterinya untuk melantik peguam baharu.

Awang Mohd Tahir dan isterinya yang sebelum ini diwakili peguam PJ Pereira, kini diwakili peguam Marcel Jude Joseph.

SPRM buat laporan polis dakwaan kes Jabatan Air Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.