
China Press melaporkan klip video selama 1 minit 32 saat itu menunjukkan 3 penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) tiba di Pasar Pasir Penambang, Kuala Selangor pada 10.55 pagi 13 Januari lalu.
Mereka yang disyaki tidak berpuas hati dengan 2 penjual ikan memperluaskan saiz gerai ditetapkan, bertindak menjatuhkan hasil laut yang diletakkan di atas penutup kotak ais ke lantai.
Seorang daripada penguatkuasa itu seterusnya menjatuhkan ikan di atas satu lagi penutup kotak ais, manakala 2 penguatkuasa lain hanya berpeluk tubuh dan tidak melarang tindakan biadab itu.
Di akhir klip video itu, penjual ikan terbabit mengutip hasil laut di lantai dengan seorang penguatkuasa terbabit merakamkan keadaan menggunakan telefon bimbitnya.
Pengguna internet mengecam tindakan 3 penguatkuasa itu dengan berkata, mereka boleh mengeluarkan kompauan kepada peniaga terbabit, bukannya menyalahgunakan kuasa untuk bertindak kasar.
Pemangku Yang Dipertua MDKS, Mohamad Yusli Askandar berkata, 3 penguatkuasa itu dilarang menjalankan tugas di luar, sebaliknya mereka diarah membuat kerja pejabat sehingga siasatan dalaman selesai dan mendapat arahan kerajaan negeri.
Beliau turut mempertahankan 3 penguatkuasa itu dengan berkata, mereka tidak bertindak kasar, sebaliknya mahu membantu penjual ikan terbabit mengalihkan kotak ais yang menghalang laluan.
Katanya, hasil siasatan MDKS mendapati peniaga itu tidak mematuhi peraturan berkaitan gerai jualan dan diberikan 2 amaran serta meminta mereka mengalihkan “gerai kecil tambahan” itu.
“Kejadian itu berlaku pada 10.30 pagi 13 Januari lalu, ketika penguatkuasa membantu peniaga mengalihkan kotak ikan, berlaku salah faham kecil menyebabkan kotak berisi hasil laut jatuh.”
Yusli dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam berkata, dalam pertemuan MDKS dengan penjual ikan yang mengakui tidak mematuhi peraturan itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan.