Terowong dasar laut: SPRM siasat bayaran RM305 juta

Terowong dasar laut: SPRM siasat bayaran RM305 juta

Sumber SPRM berkata, pasukan penyiasat sedang merakam keterangan saksi di syarikat terbabit dan menyiasat sama ada RM305 juta itu ialah nilai sebenar atau dinaikkan.

sprm-penang-tunnel-project
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfokuskan siasatannya ke atas bayaran RM305 juta oleh kerajaan negeri kepada syarikat yang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Sumber SPRM berkata, pasukan penyiasat sedang merakam keterangan saksi di syarikat terbabit bagi mengenal pasti proses pembayaran itu dan dokumen yang dirampas itu dipercayai dapat membantu menentukan sama ada RM305 juta itu ialah nilai sebenar atau dinaikkan.

Beliau berkata, SPRM juga sedang menyiasat sama ada syarikat itu mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

“Kita juga perlu lihat sama ada pakar-pakar yang dilantik untuk membuat kajian tersebut mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

“Tidak kira sama ada pakar-pakar yang dilantik itu terdiri daripada kerajaan mahupun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalankan kajian terowong dasar laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Isu terowong dasar laut kembali hangat diperkatakan susulan SPRM membuat serbuan di beberapa pejabat kerajaan di Komtar dan syarikat berkaitan projek itu, Selasa lepas dan semalam untuk siasatan susulan laporan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.

Rabu lalu, 2 individu bergelar Datuk daripada syarikat pembangunan hartanah direman 6 hari masing-masing di Putrajaya dan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pihaknya sedang menyiasat pembayaran untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu.

Katanya, pasukan penyiasat memerlukan masa untuk menyiasat kes itu kerana membabitkan aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada SPRM menyiasat dan pihaknya masih dalam proses merakam percakapan saksi penting yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan itu.

“Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan,” katanya.

Hari ini, SPRM merakam percakapan 8 individu, termasuk setiausaha syarikat, penasihat dan perunding syarikat serta menggeledah 9 syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

Semalam, SPRM dilaporkan sudah mengambil keterangan 12 saksi berhubung siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan projek terowong dasar laut itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan 3 jalan utama, dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang dijadualkan bermula 2023.

Projek itu adalah sebahagian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kerajaan Pulau Pinang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.