Anak tiada kerakyatan: Semua sekolah perlu patuh arahan menteri, kata Zahid

Anak tiada kerakyatan: Semua sekolah perlu patuh arahan menteri, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berketa, ibu bapa anak tanpa kerakyatan itu boleh merujuk Pejabat Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan jika sekolah melarang kanak-kanak itu bersekolah.

zahid
PUTRAJAYA: Semua sekolah perlu mematuhi arahan menteri pendidikan yang membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan bersekolah, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ibu bapa anak tanpa kerakyatan itu boleh merujuk Pejabat Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan jika sekolah melarang kanak-kanak itu bersekolah.

“Apabila menteri berkenaan keluarkan arahan, maka pematuhan hendaklah dibuat di sekolah berkenaan. Soal memperolehi dokumen, sijil kelahiran, rekod kelahiran ialah kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Namun, dari segi pendidikan, mereka yang tanpa dokumen ini hendaklah diterima pakai,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan boleh menghadiri sesi persekolahan walaupun permohonon kerakyatan mereka masih dalam proses.

Bagaimanapun, pada minggu pertama persekolahan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun di Seremban dihalang menghadiri sesi persekolahan kerana tidak memiliki pasport, berdasarkan polisi baru Jabatan Imigresen Malaysia.

Keluarga angkat kanak-kanak itu sudah memohon kerakyatan untuk anak yang mereka ambil secara sah dan sedang menunggu kelulusan.

Zahid berkata, ada beberapa faktor yang menyebabkan seorang kanak-kanak tiada kerakyatan.

“Ia disebabkan ada 11 kategori, antaranya proses pengambilan anak angkat yang belum disahkan, anak tidak sah taraf serta warganegara Malaysia yang mempunyai isteri warga asing yang melahirkan anak di luar negara, tetapi dibawa ke Malaysia,” katanya.

Statistik JPN menunjukkan Malaysia mempunyai 104,421 kanak-kanak berstatus bukan warganegara dari 2013 hingga 2017.

Kementerian Pendidikan dilaporkan sudah memberi pas khas kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai G Darshana untuk menghadiri sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Rasah Jaya di Seremban, hari ini.

Langkah imigresen halang anak tanpa kerakyatan ke sekolah terus dikecam

Suaram selar imigresen larang anak angkat bersekolah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.