
“Ia boleh menjadi garis panduan kepada kerajaan semasa mempertimbangkan pengharaman buku,” kata Abdullah Abdul Rahman, peguam kepada Faisal, kepada FMT.
Mahkamah Rayuan hari ini menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan pengharaman Putrajaya ke atas 4 karya Faisal, atau nama sebenarnya Faizal Musa, seorang felo di Institut Alam dan Ketamadunan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Empat buku tersebut adalah “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala”, “Tiga Kali Seminggu” dan “Ingin Jadi Nasrallah”.
Kementerian Dalam Negeri berkata novelnya mengandungi unsur ajaran Syiah, pemikiran yang dilabel “menyimpang” oleh pihak berkuasa Islam di Malaysia.
Panel 3 hakim diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat hari ini berkata kementerian sudah melanggar hak kebebasan bersuara Faisal. Mahkamah juga mendapati perintah pengharaman itu tidak menurut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, maka ia menyalahi undang-undang.
Dua anggota panel itu ialah Datuk Ahmadi Asnawi dan Puan Sri Zaleha Yusof yang menulis penghakiman hari ini.
Hakim berkata mereka telah membaca 4 buku berkenaan dan tidak faham bagaimana buku itu boleh menggugat ketenteraman awam atau menjadi ancaman terhadap keselamatan, alasan yang sering digunakan kerajaan apabila mengharamkan ribuan buku sebelum ini.
Faisal, 44, ketika dihubungi FMT tidak mahu mengulas keputusan hari ini. Beliau juga salah seorang penulis kolum di FMT.
Sementara itu, peguam Amer Hamzah mengalu-alukan keputusan itu.
“Keputusan mahkamah harus dipuji. Kementerian tidak patut mengharamkan buku yang tidak mereka setujui.
“Hanya kerana mereka tidak bersetuju dengan pandangan yang disuarakan tidak bererti ia perlu diharamkan. Saya rasa masyarakat mungkin berbeza pandangan. Serahkan pada pembaca untuk tentukan kandungan buku itu.”
Malah buku Adolf Hitler, “Mein Kampf”, yang melakar ideologi Nazi, ada dijual di kedai buku, katanya.
“Saya tidak bersetuju dengan kandungan dan pandangan yang disuarakan Adolf Hitler tetapi perlukah buku itu diharamkan?
“Perbincangan intelektual perlu ada jika mahu masyarakat jadi lebih matang,” katanya.
Tiga lagi buku Faisal masih diharamkan, iaitu “Perempuan Nan Bercinta”, “Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan” and “Aku ____, Maka Aku Ada!”
Lepasan syariah itu sering menyentuh topik kontroversi dalam novelnya. Novel terbaharu beliau, “Profesor”, berkisar sekitar seorang watak lesbian yang beragama Islam.
Penulis itu, pada 2006 dianugerahkan Anugerah Seni Negara daripada kerajaan Malaysia, sering berdepan kritikan daripada kumpulan Islam kerana bersimpati dengan golongan Syiah.