
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata semua mereka yang berusia antara 21 hingga 40 tahun itu dipercayai daripada kumpulan kongsi gelap yang sama.
“Kita percaya semuanya mempunyai peranan dalam kes dan mereka juga mempunyai rekod jenayah.
“Waran tangkap telah dikeluarkan dan kita memohon orang ramai supaya memberikan kerjasama sekiranya mempunyai maklumat mengenai mereka berikutan polis akan mengeluarkan gambar dan identiti kesembilan-sembilan mereka,” kata beliau dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Amanat kepada warga polis Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini, hari ini.
Ditanya sama ada kesemua suspek masih berada dalam negara berikutan kes telah berlalu lama, Mohd Khalil berkata: “Kalau mengikut laluan pintu masuk dan keluar negara, tiada rekod mengenai perkara itu (keluar daripada mereka).
“Jadi, kita percaya mereka masih dalam negara,” katanya.
Dalam kejadian 7.30 malam pada Ahad itu, mangsa yang berusia 40-an maut setelah ditikam, dilanggar dan digilis sekumpulan 4 lelaki yang dipercayai merupakan anggota kumpulan kongsi gelap.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta Volkswagen Polo bersama-sama seorang wanita warga asing berusia 20-an dipercayai isterinya singgah di stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar kereta.
Kemudian datang secara tiba-tiba sebuah kereta BMW dinaiki 4 lelaki yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum berlaku pergelutan yang mengakibatkan mangsa ditikam di bahagian dada.
Mangsa bagaimanapun berjaya meloloskan diri seketika namun tetap diekori oleh suspek yang bertindak melanggar dan menggilisnya.
Berikutan kejadian, seramai 15 suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan 2 daripadanya akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok untuk dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek yang lain pula telah dibebaskan dengan jaminan polis.