50,000 pekerja dibuang tahun ini? Mengarut, kata Mustapa

50,000 pekerja dibuang tahun ini? Mengarut, kata Mustapa

Menteri menepis laporan kononnya puluhan ribu pekerja akan hilang pekerjaan kerana kenaikan kos menjalankan perniagaan.

Mustapa-Mohamed-pekerja-malaysia
PETALING JAYA:
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menepis dakwaan 50,000 pekerja akan dibuang tahun ini kerana kenaikan kos menjalankan perniagaan.

Beliau berkata peralihan pekerja kerana perubahan teknologi dan struktur industri merupakan ciri-ciri ekonomi berasaskan pengetahuan, walaupun dalam tempoh yang baik.

“Perkara itu juga terpakai pada Malaysia dalam peralihan dari ekonomi intensif buruh kepada berasaskan pengetahuan.

“Oleh itu dakwaan sesetengah pihak kononnya 50,000 pekerja akan dibuang kerja kerana kenaikan kos menjalankan perniagaan adalah tidak betul,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada Rabu, akhbar theSun melaporkan lebih 50,000 rakyat dijangka hilang pekerjaan pada 2018, di mana Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsudin Bardan berkata sektor paling terkesan adalah sektor pembuatan.

Menurut laporan itu, Shamsudin berkata perkembangan itu kerana beberapa faktor, termasuk Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dan levi pengambilan pekerja asing yang dikenakan ke atas majikan.

Laporan itu turut memetik Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor sebagai berkata beliau dimaklumkan oleh Jabatan Buruh bahawa 30,000 hingga 50,000 orang mungkin dibuang kerja tahun ini.

Mustapa berkata walaupun pembuangan pekerja akan berlaku, kebanyakan pekerja barangkali akan diambil bekerja oleh perniagaan baharu dan perniagaan yang sedang berkembang.

Beliau menambah jumlah keseluruhan orang yang akan dibuang tahun tahun ini mungkin tidak setinggi yang didakwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.