Kerajaan Sabah veto kajian semula tarif elektrik

Kerajaan Sabah veto kajian semula tarif elektrik

Timbalan Ketua Menteri, Raymond Tan mempertikaikan dakwaan syarikat utiliti SESB di ambang muflis dengan menyatakan keuntungan tahunan sejak semakan terakhir pada 2014.

raymon-sabah-2
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah tidak akan membenarkan kajian semula ke atas tarif elektrik di negeri itu, sekalipun dakwaan ia diperlukan bagi menangani masalah kewangan dihadapi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Seri Raymond Tan berkata, Tenaga Nasional Bhd (TNB), SESB mahupun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili yang membuat dakwaan itu, tiada hak memutuskan perkara itu kerana ia berkaitan hak Perlembagaan Sabah.

Menteri pembangunan perindustrian itu berkata, Kabinet negeri sudah membenarkan 2 kajian semula dijalankan pada 2011 dan 2014, yang menyaksikan SESB meraih keuntungan secara konsisten sejak itu.

“Jangan bimbang jika SESB berdepan insolvensi, masalah tunai…kami akan menelitinya, tetapi mereka tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan mengenai tarif. Menteri pun tidak boleh (berbuat demikian).

“Saya tidak fikir kerajaan negeri akan mengkaji semula tarif, sekalipun kenyataan dari SESB dan menteri itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut laporan kewangan SESB yang diterbitkan di laman web TNB, Tan berkata, SESB mencatatkan keuntungan RM96.7 juta pada 2014, RM98.7 juta pada 2015, RM128.7 juta pada 2016 dan RM44.7 juta tahun lalu.

Katanya, ini membuktikan syarikat itu tidak menghadapi masalah kewangan walaupun keuntungan susut pada tahun lalu dan tiada alasan untuk mengkaji semula tarif elektrik.

Katanya, keuntungan itu perlu digunakan untuk manfaat rakyat Sabah, yang bermakna sebarang rancangan kajian semula perlu mengurangkan tarif, bukan menaikkan kadar itu.

“Apa sahaja alasan mereka, kerajaan negeri tidak akan membenarkan kajian semula tarif, malah bukan untuk 6 bulan dari sekarang kerana angka itu menunjukkan keuntungan.”

Beliau berkata, alasan TNB yang kos penjanaan kuasa naik sehingga 56.50 sen/kwH tidak benar kerana 88% penjanaan kuasa di Sabah menggunakan gas asli.

Katanya, loji janakuasa diesel dan bahan bakar yang ketinggalan zaman sudah dihentikan untuk digantikan loji janakuasa gas asli.

Loji janakuasa itu menggunakan minyak bersubsidi daripada kerajaan persekutuan. Bagaimanapun katanya, jumlah subsidi berkurangan sejak beberapa tahun lalu apabila semakin banyak loji itu berhenti operasi.

“Kerajaan persekutuan tidak memberi subsidi gas asli kerana kami mempunyai gas itu di mana kami peroleh daripada Petronas pada kadar istimewa. Jadi, apa masalahnya?” soalnya.

Tan berkata, kerajaan negeri sedang meneliti masalah itu secara serius, khasnya apabila ia mendapat keuntungan, SESB didakwa di ambang muflis.

Katanya, ia juga penting bagi memberi jaminan kepada rakyat Sabah yang SESB tidak boleh ditutup kerana itu bermakna negeri berkenaan akan terputus bekalan elektrik.

Pada 22 Disember lalu, Ongkili berkata, syarikat elektrik itu terus mengalami kerugian dan di ambang muflis.

Beliau berkata, mereka meminta kajian semula tarif sejak kali terakhir kajian semula pada 2014.

Mengulas isu bekalan dan pengagihan elektrik, katanya, ia adalah hak perlembagaan Sabah untuk berbuat demikian, seperti Sarawak.

Tan berkata, mana-mana syarikat utiliti boleh beroperasi di Sabah, tetapi hak mengawal selia adalah milik kerajaan negeri.

“Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memutuskan untuk menghentikan Sabah pada 1983, bagaimanapun beliau tidak menghentikan Sarawak. Saya pernah membangkitkan isu ini, tetapi Mahathir tidak memberi respons. Mungkin beliau sibuk dengan parti baharunya, merancang bagaimana beliau boleh menjadi perdana menteri lagi.

“Mahathir tidak pernah bersetuju dengan apa yang kami katakan sebagai hak negeri. Ia memberi kami masalah. Kini, kami beritahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ini adalah hak negeri dan biar kami putuskan. Kami akan lihat apa yang berlaku seterusnya.”

Tan berkata, kerajaan negeri turut mempertimbangkan menambah pegangan sahamnya dalam SESB melalui KKIP Power yang beroperasi sejak 1999.

Syarikat itu, katanya, mempunyai aset dalam kawasan KKIP bernilai RM200 juta dan meningkatkan kadar Saidi (Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem) di bawah 100.

Saidi ialah tempoh purata gangguan bekalan elektrik yang dialami setiap pengguna.

“Minggu lalu, kami memaklumkan TNB kami boleh meningkatkan bahagian kami. Beritahu kami bagaimana menyertai rundingan ini. Bagaimana terbabit dalam proses itu. Tetapi, saya memberi jaminan semuanya akan telus. Jika mereka hadapi masalah, kerajaan akan membantu.

“Ini untuk memberi jaminan bukan hanya kepada pelabur, tetapi rakyat Sabah. SESB tidak boleh ditutup.

“Kami tidak peduli apa yang TNB atau menteri itu kata, mereka tiada hak. Ini adalah hak negeri dan sebarang keputusan akan diluluskan negeri kerana ini membabitkan rakyat dan kebajikan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.