
Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap berkata Amanah senang “dibuli” sekutu sendiri kerana gabungan itu menyedari parti serpihan PAS itu tidak mampu menarik sokongan undi Melayu seperti diharapkan.
“Ini menunjukkan Amanah sebagai sebuah parti yang paling tidak dominan dalam pakatan pembangkang dan ternyata pemimpin yang ada di kalangan mereka tidak boleh mempengaruhi keputusan PH.
“Ternyata Amanah bukanlah seperti PAS, yang boleh menarik undi pengundi Melayu seperti yang diharapkan,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan kecewa kerana permintaan parti itu untuk bertanding 5 kerusi Parlimen di negeri itu ditolak.
Di Johor, Amanah diberikan 2 kerusi iaitu Parit Sulong dan Pulai.
Ia merupakan antara 27 kerusi yang dikhaskan kepada Amanah.
PH sebelum ini mengumumkan agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia sudah selesai di kalangan 4 parti, Selain 27 untuk Amanah, PPBM akan bertanding di 52 kerusi, PKR di 51 kerusi manakala DAP di 35 kerusi.
Ahad lalu, ketika berucap meluahkan penghargaannya kepada Amanah, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rundingan kerusi berjaya disebabkan pengorbanan Amanah.
Aminolhuda berkata seolah-olah hanya Amanah yang sanggup berkorban untuk gabungan itu tetapi parti komponen lain hanya memikirkan kemahuan sendiri.
“Kita antara yang ke depan membentuk PH menggantikan Pakatan Rakyat. Kita juga menjadi tunggak PH di Johor, bahkan isytihar Johor negeri barisan depan Amanah,” katanya.
Sementara itu, Anuar berkata Umno dan BN lebih muda kekal berkuasa di Johor sekiranya PH dilanda kemelut seperti kekecewaan berhubung agihan kerus.
“Perbalahan mereka petanda bahawa selama ini mereka hanya bercakap kosong, konon bersama. Namun bila keputusan kerusi dikeluarkan, masing-masing tetap tidak puas hati,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin Umno dari Johor, Datuk Ab Aziz Kaprawi, yakin tindakan PH menamakan Dr Mahathir untuk kembali menjadi perdana menteri akan memberi kelebihan kepada Umno di negeri itu.
Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata jika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, negara akan ke belakang.
“Masa depan negara tidak akan membawa satu pembaharuan baru malah ianya akan berbalik kepada yang lama. PH akan menggunakan pendekatan lama. Jadi sekaligus ini tidak memberi satu harapan yang baru untuk rakyat,” katanya kepada FMT.