
Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said menetapkan tarikh itu di kamarnya selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mewakili Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku defendan manakala peguam N Surendran mewakilli Hee.
Shamsul ketika ditemui pemberita berkata beliau berhujah, saman pemula difailkan oleh plaintif (Hee) dengan jelas merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana prosiding di Dewan Rakyat tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
“Tuduhan plaintif jelas tidak kukuh kerana tiada alasan munasabah bagi tindakan diambil terhadap kedua-dua defendan dan saman itu jelas merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana keputusan dibuat oleh Pandikar Amin tidak boleh dipersoalkan mengikut ketetapan Perkara 63(1) Pelembagaan Persekutuan,” katanya.
Surendran pula berhujah mahkamah mempunyai bidang kuasa mencabar keputusan speaker Dewan Rakyat.
Setiausaha dan speaker Dewan Rakyat memohon membatalkan saman difailkan Hee pada 13 September 2017 atas alasan saman pemula itu tidak mendedahkan kuasa tindakan munasabah dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Hee, 48, memfailkan saman pada 2 Ogos 2017 dengan menamakan Roosme dan Pandikar Amin sebagai defendan pertama dan ke-2.
Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Hee mendakwa beliau melalui pembantunya, Faisal Mustafa menghantar 10 soalan yang diemel kepada Roosme untuk dijawab menteri-menteri kerajaan pada sidang Parlimen sedang berlangsung pada Julai tahun lepas.
Namun, Hee mendakwa melalui 2 surat bertarikh 21 Julai 2017 itu, beliau dimaklumkan kedua-dua defendan telah menolak 2 daripada 10 soalan berkenaan iaitu soalan tentang ahli perniagaan Jho Low dan isu 1MDB.
Oleh itu, plaintif menuntut satu deklarasi mengatakan keputusan defendan menolak soalannya tidak berperlembagaan, tidak sah, terbatal dan tidak berkesan.