
Beliau berkata, pengauditan dijalankan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Khamis lalu, sebuah syarikat audit luar dilantik bagi melaksanakan audit forensik.
Shahrir berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada proses itu demi memastikan Felda mendapat haknya semula ke atas tanah tersebut.
“Kami tidak akan berkompromi dalam isu pindah milik tanah ini kerana kami mahukan semula hak tanah itu.
“Pada masa sama, kami berpendapat ia (pindah milik tanah) adalah satu bentuk salah laku dan tindakan harus diambil sekiranya wujud salah laku,” katanya dalam sidang akhbar di Desa Datuk Hajah Hasnah Ahmad, hari ini.
Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bahru mengulas langkah terbaru kerajaan melantik sebuah firma audit luar untuk melaksanakan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) di atas tanah milik Felda di Jalan Semarak.
Pelantikan dibuat melalui Jabatan Perdana Menteri dan diharap dapat menjalankan audit forensik ke atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan projek berkenaan.
Selain itu, menurut perdana menteri, proses audit itu juga akan menilai semula proses pengawalan berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan Felda ke atas Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Mengenai pelaksanaan Skim Eksport Minyak Sawit Mentah (MSM) tanpa duti eksport bagi tempoh 3 bulan akan datang bermula esok, Shahrir berkata, pelaksanaan langkah itu akan menjadikan harga komoditi itu lebih kompetitif, sekaligus memberi manfaat kepada penanam kelapa sawit.
“Kami telah melakukannya sebelum ini, tetapi tidak ada pilihan raya selepas itu,” katanya sekaligus menafikan tindakan itu dibuat memandangkan pilihan raya tidak lama lagi sepertimana didakwa sesetengah pihak.
Jumaat lepas, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pelaksanaan skim itu bertujuan mengurangkan stok minyak sawit dan mengukuhkan harga pasaran minyak sawit.
Menurut Mah, pelaksanaan skim berkenaan adalah langkah jangka pendek kerajaan bagi menangani kejatuhan harga minyak mentah yang menyaksikan harga MSM menurun secara ketara sejak Oktober lalu.
Mah berkata, bulan lepas (Disember 2017), harga purata MSM menurun kepada RM2,372.50 pada minggu ke-3, manakala stok minyak sawit pada November 2017 meningkat 16% kepada 2.56 juta tan ekoran peningkatan dan pengeluaran eksport minyak sawit.
Apabila ditanya apakah nasihatnya kepada pelabur runcit dan mereka yang memegang saham Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) dan jikaada berita menarik selepas ini, Shahrir berkata: “Ya, dividen tidak lama lagi.
“FGV dah bersetuju yang dividen sebanyak 5 sen. Saya berpendapat apa yang sedang dilakukan FGV adalah mengembalikan fokusnya sebagai satu bisnes dan tidak dicampur aduk dengan politik.”