
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan perkara itu dan memaklumkan Isa selesai beri keterangan selepas soal siasat disambung selepas solat Jumaat.
“Saya sahkan keterangan Isa sudah selesai diambil. Beliau selesai diambil keterangan lebih 4.00 petang tadi,” katanya kepada FMT.
Lebih 50 wartawan yang menunggu di pintu utama menara yang menempatkan JSJK sejak 9.00 pagi bagaimanapun gagal mendapatkan Isa, yang dipercayai keluar mengikut pintu belakang menara.
Isa tiba di Bukit Aman pada 10.30 pagi dan terus memasuki pintu belakang menara ke ibu pejabat JSJK. Isa adalah individu ke-9 yang dipanggil untuk siasatan polis.
Beliau dipanggil polis selepas Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.
Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.
Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun 2017 serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada Julai 2013 sehingga Ogos 2017.