
Pihak berkuasa negara itu memberi alasan filem “Radiance of Resistance” berat sebelah dan berpotensi memecahbelahkan masyarakat berbilang etnik di Singapura.
Penguasa Pembangunan Infokom Singapura (IMDA) menerusi laman webnya menyifatkan dokumentari yang memaparkan konflik Israel-Palestin dari kaca mata gadis berusia 16 tahun, Ahed Tamimi dan seorang lagi aktivis perempuan muda sebagai kurang “imbang balas”.
“Naratif berat sebelah filem itu bersifat menghasut dan berpotensi menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan penduduk berbulang kaum dan agama di Singapura,” kata IMDA.
Dokumentari itu sepatutnya ditayangkan di Festival Filem Palestin Singapura hari ini.
Ia sudah ditayangkan di beberapa festival di seluruh dunia tahun lalu dan memenangi anugerah Dokumentari Terbaik di Festival Filem Hormati Hak Asasi Manusia di Belfast, tetapi ia mendapat lebih banyak tumpuan susulan penahanan Tamimi bulan lalu.
Isnin lalu, Tamimi didakwa menyerang dan beliau akan dibicarakan di mahkamah tentera Israel. Individu dewasa yang didapati bersalah menyerang anggota tentera boleh dipenjara sehingga 10 tahun, tetapi itu tidak akan berlaku ke atas Tamimi yang masih remaja.
Walaupun pihak berkuasa Singapura diketahui mengawal ketat ucapan awam dan media, khasnya isu berkaitan kaum dan agama, tetapi ia jarang melaksanakan larangan.
Penganjur festival filem di Singapura, Adela Foo menyifatkan larangan itu “boleh difahami” tanpa mengulas lanjut.
“Akhirnya, kedudukan IMDA perlu dihormati,” kata pelajar berusia 23 tahun itu kepada Reuters.
Singapura mengekalkan hubungan diplomatik dan ketenteraan dengan Israel. Tetapi, republik itu bersama banyak negara lain turut menentang tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Tinjauan kerajaan baru-baru ini menunjukkan kira-kira 15% daripada 3.3 juta penduduk Singapura berumur 15 tahun ke atas beragama Islam.