Bekas peguam negara persoal keperluan tubuh RCI Memali

Bekas peguam negara persoal keperluan tubuh RCI Memali

Malah, Abu Talib Othman mempertikaikan kewajaran menubuhkan pelbagai macam RCI untuk menyiasat kejadian berpuluh tahun dahulu.

abu-talib-othman_Memali_600
KUALA LUMPUR:
Tan Sri Abu Talib Othman hari ini mempertikaikan keperluan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan di Raja (RCI) untuk menyiasat tragedi berdarah Peristiwa Memali yang berlaku lebih 30 tahun lalu.

Malah, bekas peguam negara itu mempertikaikan kewajaran menubuhkan pelbagai macam RCI untuk menyiasat kejadian berpuluh tahun dahulu.

“Mengapa mahu tubuhkan pelbagai macam RCI sedangkan kes berlaku bertahun-tahun dulu. Ia sudah menjadi sejarah,” katanya kepada pemberita di Kelab Golf Diraja Selangor hari ini.

Abu Talib adalah peguam negara ketika peristiwa itu tercetus, yang menyaksikan 4 anggota polis dan 13 penyokong seorang guru agama yang rapat dengan APS, Ibrahim Mahmud, terkorban dalam operasi untuk menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, selepas beliau dituduh menyebarkan ajaran sesat.

PAS sebelum ini menggesa kerajaan menyiasat semula tragedi Memali untuk memberi keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama mereka yang tidak bersalah.

Susulan gesaan itu, kerajaan 20 Ogos tahun lepas mengumumkan akan meneliti cadangan penubuhan sebuah RCI selepas maklum balas pelbagai pihak, termasuk PAS.

Cadangan menubuhkan RCI untuk menyingkap kembali peristiwa berpuluh tahun lalu itu merupakan yang terbaharu selepas Kabinet bersetuju menubuhkan RCI untuk menyiasat kerugian dialami Bank Negara Malaysia dalam urus niaga tukaran mata wang asing sekitar 1980-an dan 1990-an.

Diminta untuk mengulas kes Memali, Abu Talib berkata polis lebih tahu mengenai peristiwa itu kerana mereka yang berada di lapangan.

“Mengapa ketua polis negara berdiam diri? Mengapa polis tidak beritahu keseluruhan cerita tentang apa yang berlaku di lapangan?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.