
Sin Chew Daily melaporkan jumlah pelajar tahun ini berkurangan 2,283 orang berbanding tahun lalu dan antara puncanya ialah kadar kelahiran menurun dan ibu bapa menghantar anak ke sekolah persendirian atau antarabangsa.
Mereka yang terbabit dalam industri pendidikan pernah membincangkan masalah ini dan akan mengadakan dialog berdasarkan tahap keseriusannya.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon dipetik akhbar itu berkata, punca utama ialah kadar kelahiran merosot dan ini ialah akibat urbanisasi yang menyebabkan populasi negara tua, selain ibu bapa memilih sekolah antarabangsa.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja berlaku di SJKC, malah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan pelajar matrikulasi turut menunjukkan kadar menurun.
“Sesetengah ibu bapa memilih untuk menghantar anak ke sekolah antarabangsa, keluarga sedemikian lebih berkemampuan dan berharap anak mereka didedahkan kepada pendidikan aliran Inggeris.”
Katanya, sekolah antarabangsa mempunyai puluhan ribu pelajar rendah dan menengah, jumlahnya bagaimanapun tidak dikira ramai.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia, Wong Shee Fatt dipetik Sin Chew Daily juga bersetuju satu keluarga hanya ada seorang atau 2 anak, serta ibu bapa berkemampuan menghantar anak ke sekolah antarabangsa atau swasta sebagai puncanya.
“Untuk menarik kemasukan pelajar, kami berusaha menguruskan SJKC dengan baik serta mengkaji sistem dan silibus.
“Kami pernah membincangkan perkara ini dan kelak mungkin mengadakan dialog untuk membincangkan lebih lanjut.”
Dalam perkembangan lain, Chong mendapati jumlah dan berat beg sekolah yang dibawa pelajar sudah berkurangan pada sesi persekolahan tahun ini, susulan pelaksanaan dasar 1 buku kerja untuk setiap mata pelajaran di sekolah rendah mulai 2018.
“Sudah tentu, ini ialah hari pertama persekolahan, pelajar akan membawa semua buku teks ke sekolah sebelum membahagikan mengikut jadual kelas.
“Oleh itu, hari pertama tidak boleh diambil kira, tetapi kami tak nampak lagi seorang murid membawa beberapa beg ke sekolah, kita lega dengan keadaan ini.”
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000 jelas menyatakan penggunaan buku kerja tidak dibenarkan kepada murid darjah 1 hingga 3 kerana buku latihan aktiviti sudah disediakan Bahagian Buku Teks Kementerian Pendidikan.
Bagi murid darjah 4 hingga 6 pula, hanya 1 buku kerja dibenarkan bagi setiap subjek Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta bahasa Cina dan bahasa Tamil.