Kes bunuh-gilis JB: BMW sudah dijumpai, pisau masih dicari

Kes bunuh-gilis JB: BMW sudah dijumpai, pisau masih dicari

Ketua polis Johor berkata, siasatan pasukan khas turut mendapati suspek utama kes itu pernah terlibat dalam 2 kejadian samun di Kulai dan Batu Pahat.

Khalil-Kader1
JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan pisau yang digunakan untuk menikam mangsa dalam kejadian bunuh di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini pada 17 Disember lalu, dipercayai dibuang di laluan Desaru, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, ia merupakan hasil siasatan yang dijalankan terhadap suspek utama kes terbabit.

“Polis sedang mengenal pasti tempat suspek membuang pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa ketika dalam perjalanan ke Desaru.”

Katanya, siasatan pasukan khas turut mendapati suspek utama pernah terlibat dalam 2 kejadian samun di Kulai dan Batu Pahat.

“Kita akan lakukan siasatan rapi dan dalam tempoh terdekat ini akan kemukakan hasil dan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Negeri yang baharu hari ini.

Khalil berkata, pasukan khas itu sehingga kini masih menjalankan siasatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya kini di peringkat menyelesaikan kertas siasatan berhubung tangkapan membabitkan Ops Darjah untuk dibawa ke Jabatan Peguam Negara.

“Selain kes bunuh stesen minyak, ini adalah antara kes berprofil tinggi yang direkodkan pada suku ke-4 tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan SAC Kamaluddin Kasim mengambil alih tugas sebagai ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor daripada Datuk Azman Ayob.

Azman pula bakal bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur sebagai ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.