
Cadangan persempadangan semula itu turut menyeru P106 Petaling Jaya Utara ditukar nama kepada Damansara dan menggabungkan kerusi itu dengan sebahagian kawasan Parlimen Selayang, Bukit Lanjan, Sungai Buloh dan Kepong.
Penyelaras Gerakan di Bukit Lanjan, Syed Abdul Razak Alsagoff, membantah gerimander itu selepas menyerahkan bantahan di inkuiri ke atas cadangan persempadanan semula sempadan pilihan raya SPR.
“Saya sekuat-kuat hati membantah cadangan itu kerana mereka mengeluarkan 7 pusat daerah mengundi (PDM) dari Bandar Utama dan Kampung Sungai Ara daripada 17, dan memasukkan 6 PDM dari Templer dan 5 dari Paya Jaras.
“Ini akan menambah pengundi Cina daripada 57% kepada 62%, atau 47,000 kepada 61,000 pengundi.
“SPR sepatutnya mengikut nisbah 1 kepada 1 tetapi nisbah di kerusi Parlimen Damansara akan jadi 2.05,” katanya kepada pemberita hari ini.
Cadangan itu menjadikan P106 menjadi kawasan yang luas: daripada 85,000 pengundi kepada 160,000, menjadikannya antara kerusi terbesar di negara ini.
Syed Razak menyifatkan cadangan itu sebagai perkauman.
“Saya juga melihat tindakan SPR sebagai perkauman kerana mereka memasukkan lebih ramai pengundi Cina dan mengurangkan pengundi Melayu.
“Pengundi Melayu di kawasan saya dikurangkan daripada 28% kepada 26% dan pengundi Cina ditambah daripada 57% kepada 62% manakala pengundi India kekal pada 12%.
“Gerimander itu menyalahi Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan tentang keberkadaran.
“Sekarang berlaku tidak berkadaran. Kawasan sebelahnya hanya 73,000 pengundi dan Damansara ada 160,000.”
Kampung Sungai Ara dijadikan contoh kawasan yang akan terkesan dengan cadangan itu.
Syed Razak berkata Kampung Sungai Ara ialah kampung tradisi yang akan dimasukkan ke dalam kawasan baharu itu.
“Mereka ada masalah sosial tertentu yang perlukan perhatian. Apabila kamu masukkan mereka semua sekali bawah satu Ahli Parlimen, bagaimana beliau mahu beri perhatian pada semua 160,000 dan masalah mereka?”
“Saya seorang Islam dan ramai di SPR beragama Islam. Kalau mereka meneruskan perkara itu dan kerana saya gunakan wang sendiri dan tewas, saya akan tuntut daripada semua yang percaya pada akhirat.
“Ini kerana semua langkah itu sama sekali tidak adil dan mereka membahagi-bahagikan kawasan yang sudah betul. Itu tindakan yang betul semata-mata untuk membantu sesetengah pihak yang belum tentu boleh menang pun.
“Kamu masukkan semua orang Melayu sekali tetapi belum tentu mereka akan mengundi Umno. Umno akan berlawan dengan PPBM, PAS, Amanah dan PKR.”