SPR: Anggota Rela tidak layak mohon pengundian pos

SPR: Anggota Rela tidak layak mohon pengundian pos

Kemudahan pengundian pos diberikan bukanlah secara automatik kepada semua anggota berkenaan tetapi hanya tertakluk kepada yang dikehendaki menjalankan tugas pada hari mengundi.

undi-secara-pos-pilihanraya-spr
PUTRAJAYA: Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) tidak sama kategori dengan anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PVR) dan tidak layak memohon sebagai kategori pengundi pos, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata pihaknya menolak dakwaan pihak tertentu kononnya terdapat hampir 4 juta pengundi pos akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang dan sebahagian besar daripadanya merupakan anggota Rela yang disalah erti sebagai termasuk dalam kategori anggota PVR.

“Dalam hal ini SPR ingin menegaskan dakwaan tersebut tidak benar dan berniat untuk mengelirukan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, di bawah Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 menetapkan mana-mana warganegara yang mendaftar sebagai pemilih boleh mengundi secara pos dengan syarat mereka perlu tergolong dalam satu daripada kategori ditetapkan SPR.

“Kemudahan pengundian pos diberikan kepada kategori pemilih berkenaan bukanlah secara automatik kepada semua anggota berkenaan tetapi hanya tertakluk kepada anggota yang dikehendaki menjalankan tugas pada hari mengundi.

“Mereka hendaklah memohon sebagai pengundi pos dengan perakuan Ketua Jabatan masing-masing apabila tempoh permohonan dibuka oleh SPR melalui pemakluman rasmi. Mereka yang tidak memohon tidak layak untuk mengundi sebagai pengundi pos,” katanya.

Mohd Hashim berkata jumlah sebenar anggota dalam kategori terlibat dengan pengundian secara pos itu hanya dapat diketahui secara tepat setelah permohonan itu dibuka dan diterima.

“SPR akan menyemak semua permohonan undi pos itu bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja sebagaimana dalam warta diberi kemudahan pengundian pos,” katanya.

Mengenai saranan supaya SPR mengamalkan pengiraan undi awal pada hari yang sama selepas pengundian seperti mana dilakukan negara lain, beliau berkata SPR berpandangan ia tidak praktikal kerana ia akan mempengaruhi pola pengundian pada hari mengundi.

“Jika sebahagian keputusan diketahui lebih awal ia dikhuatiri akan mempengaruhi sentimen sesetengah pihak dan akan menjejaskan pola pengundian.

“Bahkan sela hari selama dua hari sebelum hari mengundi juga dikhuatiri akan menggalakkan berlakunya situasi di luar kawalan terutama dalam aspek salah laku kempen dan keselamatan awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.