Berbohong mengenai negara khianati Malaysia, Najib tegur pembangkang

Berbohong mengenai negara khianati Malaysia, Najib tegur pembangkang

Najib berkata cubaan seorang bekas pemimpin negara menggulingkan kerajaan demi merealisasikan cita-citanya untuk anaknya juga tidak boleh diterima.

najib-malaysia
KUALA LUMPUR: Perdana menteri menyarankan pembangkang memainkan peranan bersama-sama kerajaan membina negara kerana tindakan mereka selama ini memberi kesan kepada rakyat.

Datuk Seri Najib Razak berkata usaha pembangkang mensabotaj ekonomi negara dengan melakukan tuduhan palsu mengenai Malaysia boleh menjejaskan kebajikan dan sumber pendapatan rakyat.

“Berbohong mengenai negara untuk keuntungan politik peribadi adalah salah secara moral, orang seperti itu mengkhianati Malaysia,” katanya dalam satu mesej sambutan tahun baru hari ini.

Najib menambah, cubaan seorang bekas pemimpin negara menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik demi merealisasikan cita-citanya untuk anaknya juga tidak boleh diterima.

“Dalam demokrasi, perkara yang perlu adalah kehendak rakyat seperti yang dinyatakan di kotak undi, bukan keinginan satu orang sahaja.

“Adalah tidak bertanggungjawab juga untuk ahli politik menentang semata-mata menentang sedangkan bersetuju secara rahsia apa yang dilakukan kerajaan adalah langkah tepat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sikap pembangkang menentang GST ketika sistem cukai itu dipuji ahli ekonomi antarabangsa, di samping dilaksanakan di negara lain seperti Arab Saudi dan India, adalah memalukan.

“Kita boleh mempunyai perbezaan pendapat, sudah tentu, tetapi kita masih perlu untuk bersikap sopan,” katanya.

Najib mengambil contoh lawatannya ke Hospital Kuala Lumpur untuk melihat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dirawat selepas menjalani pembedahan pada 17 November lalu bagi menekankan aspek kesopanan dalam berpolitik.

“Ia tidak sepatutnya dianggap luar biasa, sebagai contoh, untuk melawat lawan yang lama di hospital untuk menyatakan simpati dan harapan yang baik untuk pemulihan mereka yang cepat,” katanya.

“Itu harus diterima dan difahami dalam masyarakat yang bertamadun, kerana kita tidak percaya dan juga tidak akan kembali kepada kejahatan yang diamalkan di bawah bekas pemimpin.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.