
Perunding kewangan Islam Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata sindiket hari ini lebih pintar apabila mereka memperkenalkan teknik penipuan terbaru menggunakan dokumen perjanjian palsu bagi meyakinkan pencarum untuk melabur mahupun membuat pengeluaran.
“Saya sarankan pencarum yang ingin melabur dapatkan pandangan ke-2, ke-3 dan ke-4. Sebabnya jika dulu sindiket penipuan ni mereka akan datang bertemu dengan orang dihubungi secara rawak serta menawarkan pelbagai janji, kata-kata serta hadiah menunjukkan pasti akan dapat pulangan yang dijanjikan.
“Sekarang ni mereka guna teknik penipuan baharu iaitu menggunakan dokumen perjanjian. Bila ada dokumen perjanjian, kita orang awam ingat ia betul Rupanya bila bawa ke bank mahupun KWSP, dokumen perjanjian itu palsu dan memberi masalah kepada pencarum. Ini lagi bahaya, penipuan cerdik pandai,” katanya kepada Bernama.
Justeru, beliau berkata, penting untuk pencarum meningkatkan ilmu dalam bidang berkaitan kerana apabila didatangi sindiket mereka tidak akan mudah terjebak dan dengan mudah membuat pengeluaran menggunakan dokumen palsu tanpa rasa was-was.
Zaharuddin berkata jika pencarum dihampiri sindiket, jangan merasa segan mendapatkan maklumat syarikat contohnya siapa pemegang saham, aktiviti perniagaan dijalankan dan sebagainya.
“Syarikat besar biasanya akan ada maklumat syarikat yang lengkap. Kalau pencarum ada rasa ragu-ragu jangan segan minta borang 24, 44 dan 49 artikel Memorandum Persatuan yang ada maklumat syarikat…baharulah kemas. Itu adalah peringkat tapisan bagus.
“Tetapi perkara sebegini warga emas tidak tahu. Jadi, mereka dinasihatkan minta pandangan daripada anak-anak. Minta nasihat dulu sebelum membuat keputusan. Sindiket akan gunakan dokumen perjanjian palsu ini sebagai ‘gula-gula’ untuk menipu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pencarum supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi kerana ia berkemungkinan adalah sindiket penipuan.
Katanya, pelaburan yang rendah risiko biasanya memberi pulangan antara 6% dan 8% setahun dan menyifatkan pelaburan terbaik adalah dengan melabur di Tabung Haji.
“Mereka kena faham kalau duit di Tabung Haji lebih selamat, pelaburan yang boleh dipercayai. Walaupun pulangannya kecil tapi lebih mampan. Mana-mana pihak menjanjikan lebih 20% pulangan pelaburan setahun, ada kemungkinan ia adalah penipuan,” katanya.
Zaharuddin menasihatkan pencarum yang ingin membuat pelaburan tidak menggunakan semua simpanan mereka, sebaliknya melabur dengan jumlah sedikit pada peringkat permulaan bagi mengelakkan menanggung kerugian besar jika ia adalah sindiket.
Beliau turut menasihatkan pencarum agar sentiasa bertanya dan merujuk pakar atau perunding kewangan jika mempunyai sebarang kemusykilan serta sebelum membuat pelaburan sebagai langkah berhati-hati.
Sementara itu, perancang kewangan Islam Suzardi Maulan berkata pencarum juga boleh merujuk terus dengan KWSP sebelum membuat pengeluaran.
Beliau berkata KWSP sangat mudah diakses sama ada menerusi media sosial mahupun pergi terus ke pejabat KWSP dan mereka akan memberi maklum balas segera kepada pencarum yang mempunyai sebarang kemusykilan.
“KWSP ni memang mudah diakses. Kalau generasi muda, mereka mudah rujuk laman web, twitter, media sosial pun ada pasukan yang sentiasa jawab sebab generasi muda ini kadang-kadang tidak suka melalui telefon. KWSP akan pantas beri respons, kalau ada isu KWSP sentiasa keluarkan notis peringatan di Facebook mereka.
“Golongan berusia pun apa-apa perlu periksa 2 kali…tidak boleh bergantung kepada orang ke-3 mengurus bagi pihak kita. Kena berhati-hati. Apa-apa berkaitan pengeluaran KWSP mesti rujuk KWSP terlebih dahulu,” katanya.