
Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu perlu kerana terdapat lebihan bekalan pangsapuri servis dan studio buat masa ini.
“Baik untuk pemaju mendapatkan lebih banyak maklumat daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya di luar satu acara di sini, hari ini.
Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan ke atas pemaju yang menyebabkan projek mereka terbengkalai.
Hari ini, FMT melaporkan Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong yang memberi amaran lebih banyak pembangunan hartanah akan terbengkalai, jika kerajaan dan pemaju tidak mengambil serius pembekuan pembangunan projek mewah.
Katanya, keadaan akan menjadi seteruk pertengahan 1980-an dan ketika krisis kewangan Asia pada 1997 hingga 2000, yang menyaksikan banyak projek pembangunan terbengkalai.
Chang merujuk arahan Kabinet pada 19 November lalu mengenai pembekuan projek hartanah mewah, tetapi kemudian ia menjelaskan keputusan itu hanya tertakluk kepada projek tidak diluluskan.
Awal bulan ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dilaporkan berkata, ia tetap meneruskan projek hartanah mewah, sekalipun Putrajaya mengeluarkan arahan pembekuan itu.
Hasilnya, banyak persoalan timbul tentang kawasan mana yang betul-betul terkesan dengan keputusan itu.
Chang menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu ketika cuba meramalkan apa yang akan berlaku pada 2018.
Setakat ini, kerajaan merekodkan 253 projek perumahan swasta terbengkalai di Semenanjung Malaysia sejak 2009.
Awal bulan lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, 190 daripada projek itu disambung semula dan disiapkan, di mana RM219.79 juta dibelanjakan untuk membaik pulih 32 daripada 190 projek itu.
Awal November lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan berkata, Malaysia mencatatkan hartanah kediaman tidak terjual yang tinggi, iaitu 130,690 unit bagi tempoh sehingga suku pertama 2017, khususnya rumah berharga lebih RM250,000 manakala kadar kekosongan pejabat dijangka mencecah 32% pada 2021.
Menurut BNM, hartanah berharga lebih RM250,000 adalah sebab utama berlaku lebihan bekalan kerana kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu memilikinya.
“Terdapat 130,690 unit kediaman tidak terjual pada akhir Mac tahun ini, di mana 83% daripadanya berharga lebih RM250,000. Juga, 61% unit pangsapuri mewah tidak terjual,” kata BNM.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/29/abai-arahan-beku-projek-mewah-dan-bersedia-krisis-hartanah-kata-hba/.