5 keluarga berdepan pengusiran dari flat protes di luar Komtar

5 keluarga berdepan pengusiran dari flat protes di luar Komtar

Keluarga terbabit berkata, mereka dipaksa keluar dari rumah atas alasan tidak masuk akal.

protes-2
GEORGE TOWN: Lima keluarga yang mendakwa dihalau dari flat kos rendah di Rifle Range, mengadakan bantahan di luar Komtar hari ini bagi menuntut pembatalan notis itu dan pertemuan dengan pihak berkuasa.

Keluarga yang diketuai Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), R Karthigesu berharap dapat menemui Exco Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo, tetapi dimaklumkan beliau tidak ada.

Sebaliknya, mereka menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai Jagdeep yang berjanji akan menyerahkannya kepada exco itu.

Karthigesu yang merupakan seorang daripada penghuni flat terjejas berkata, keluarga berkenaan menerima notis pengusiran akhir bulan lalu.

Katanya, mereka bimbang tidak dapat pulang ke rumah pada bila-bila masa.

“Kami mahu menekankan walaupun kami mempunyai masalah dengan tunggakan sewa, tetapi sejak beberapa tahun lalu, kami menjadi pembayar sewa dan tunggakan yang baik. Ini diakui pihak pengurusan.

“Kami sedang diancam pengusiran atas alasan lain yang tidak masuk akal.”

Selain tunggakan sewa, Karthigesu berkata, alasan lain untuk membatalkan kelayakan mereka daripada tinggal di rumah kos rendah itu ialah penyewa masih bujang, mereka berusia 21 tahun ke bawah, kedua-dua pasangan mestilah warganegara Malaysia, pendapatan bulanan melebihi RM1,000 dan pendapatan isi rumah melebihi RM1,500 sebulan.

Beliau mempersoalkan perbezaan dasar negeri dan persekutuan, di mana kerajaan pusat menetapkan kelayakan untuk tinggal di flat kos rendah ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500, berusia 18 tahun ke atas dan salah seorang pasangan ialah rakyat Malaysia.

Karthigesu turut mempertikaikan kenapa mereka diusir sedangkan masih banyak unit kosong di Rifle Range.

Beliau mendakwa unit penguatkuasaan bahagian perumahan sekali lagi mengugut keluarga terbabit semalam supaya meninggalkan rumah mereka dan mencari rumah baharu kerana “Kami akan kunci rumah anda dalam tempoh seminggu”.

“Pada masa sama, kami tidak diminta membincangkan perkara itu. Kami mahu mengadakan mesyuarat, tetapi tidak perlu diadakan hari ini.

“Tuntutan kami sangat jelas. Jangan kenakan syarat sedemikian. Kita perlu menemui seseorang yang boleh membuat keputusan.

“Sehingga satu mesyuarat diadakan, jangan halau kami. Jika tiada mesyuarat dalam tempoh seminggu, kami akan datang dan berkhemah di sini. Apa lagi kami boleh buat? Jika anda halau kami, kami menjadi gelandangan.”

Keluarga terbabit, kata Karthigesu, mahu kadar sewa diselaraskan berdasarkan kadar semasa iaitu RM110 untuk flat 2 bilik dan RM90 untuk flat 1 bilik.

Katanya, mereka yakin dapat menjelaskan bayaran dan tunggakan sewa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.