
“Saya berasa sedih kita begitu takut kepada buku, hampir setiap bulan ada buku diharamkan. Ini menjadikan umat Islam sangat lemah.
“Orang Yahudi menerbitkan pelbagai buku di Amerika dan kemudiannya mereka menguasai dunia, tetapi kita masih takut kepada buku,” katanya kepada FMT.
Katanya, beliau juga tidak dimaklumkan mengenai hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu sebelum pengharaman itu dilaksanakan.
“Tidak, mereka tidak bincang atau jelaskan mengapa.”
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah melaksanakan kawalan ketat ke atas buku di Malaysia “seperti yang kita lihat hari ini”.
“Amat malang sekali kerajaan ini mengharamkan banyak buku. Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, tiada perkara seperti itu. Saya tidak ingat ada banyak buku diharamkan pada zamannya.
“Ini sepatutnya kerajaan lebih terbuka dan malangnya mereka mengharamkan buku ini yang bukannya buku agama, tetapi lebih kepada dasar awam. Semua orang perlu diberikan ruang untuk komen dan menyuarakan pendapat mereka, tetapi kerajaan takutkan pemikiran, idea dan buku.”
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melancarkan buku berkenaan pada Oktober 2015. Beliau berkongsi pendapat mengenai perbincangan baharu berhubung peranan Islam dalam politik dan kehidupan rakyat Malaysia.
Hari ini, beliau membidas pengharaman bukunya menerusi Twitter.
“Jadi, tahun ini tidak berakhir dengan baik, buku saya Assalamualaikum kini diharamkan. Nampaknya bagi saya, kerajaan ini lebih suka umat Islam membakar patung pemimpin pembangkang, memecahkan botol bir daripada membaca buku,” tulisnya di Twitter.
Hasil semakan di laman web sebuah kedai buku tempatan menunjukkan buku yang dijual pada harga RM19 itu, kini diharamkan.
FMT masih menunggu pengesahan KDN mengenai pengharaman itu.
Ini adalah pengharaman terbaharu ke atas penerbitan yang menyentuh Islam sejak 3 bulan lalu.
Pada 3 Oktober lalu, KDN mengumumkan pengharaman 5 buku dengan kandungan Islam karya penulis Turki, Mustafa Akyol dan 2 rakyat Malaysia, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa dan Faisal Tehrani.
Dalam warta kerajaan yang dikeluarkan pada 28 September lalu, KDN berkata, buku berkenaan diharamkan kerana ia “mungkin memudaratkan ketentaraman awam dan fikiran orang ramai”.