
Pengarah Komunikasi Strategik Yin Shao Loong berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, bagi menjawab pandangan pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Isham Jalil dilaporkan berkata cukai hartanah yang tinggi membawa kepada kos sara hidup yang lebih tinggi di Selangor, dan cukai berkaitan hartanah di Selangor dan Pulau Pinang, yang kini ditadbir gabungan pembangkang, adalah lebih rendah semasa kerajaan Barisan Nasional.
“Kerajaan negeri mengekalkan kadar tarif cukai tanah sejak 14 tahun lalu.
“Malah, melalui program ‘Peduli Rakyat’, kerajaan negeri mengetepikan fi taksiran sebanyak RM113 juta untuk 790,443 rumah kampung dan rumah kos rendah.
“Kita juga mengenakan fi nominal sebanyak RM1,000 sahaja kepada 5,317 peneroka yang memiliki tanah perumahan, di samping inisiaif lain,” kata Yin menyangkal komen Isham.
Yin berhujah kos sara hidup tinggi yang dihadapi rakyat hanya kerana kerajaan persekutuan membatalkan subsidi minyak masak dan petrol, turun nilai ringgit dan GST.
Pada Selasa, Bernama melaporkan kenyataan Isham yang dibuat dalam wawancara “Ruang Bicara Khas” di saluran berita Bernama.
Islam mendakwa hasil kerajaan Selangor meningkat selepas menaikkan cukai berkaitan hartanah sejak pembangkang mentadbir kerajaan negeri pada 2008.
“Ini sebenarnya yang mendorong kepada kenaikan kos terutama di bandar,” kata Isham, dan menambah kenaikan sewa lot pasar malam juga menyebabkan para peniaga terpaksa menaikkan harga barangan.