
“Jadi, tahun ini tidak berakhir dengan baik, buku saya Assalamualaikum kini diharamkan. Nampaknya bagi saya, kerajaan ini lebih suka umat Islam membakar patung pemimpin pembangkang, memecahkan botol bir daripada membaca buku,” tulisnya dalam Twitternya bagi mendedahkan pengharaman itu.
Dalam buku itu, Zaid berkongsi pendapat mengenai perbualan baharu berhubung peranan Islam dalam politik serta kehidupan rakyat Malaysia.
Hasil semakan di laman web sebuah kedai buku tempatan menunjukkan buku yang dijual pada harga RM19 itu, kini diharamkan.
FMT masih menunggu pengesahan KDN mengenai pengharaman itu.
Ini adalah pengharaman terbaharu ke atas penerbitan yang menyentuh Islam.
Pada 3 Oktober lalu, KDN mengumumkan pengharaman 5 buku berkandungan Islam karya penulis Turki, Mustafa Akyol dan 2 rakyat Malaysia, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa dan Faisal Tehrani.
Dalam warta kerajaan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 28 September lalu, KDN berkata, buku itu “mungkin memudaratkan ketentaraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan kepentingan awam”.
Satu-satunya buku bahasa Inggeris yang diharamkan ialah “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” karya Akyol dan merupakan buku terlaris antarabangsa sejak diterbitkan buat kali pertama di Amerika Syarikat pada 2011.
Versi bahasa Malaysia buku itu “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan” turut diharamkan.
Dua buku Dr Farouk – Wacana Pemikiran Reformis (Jilid 1) dan (Jilid 2) turut diharamkan.
Penerbit 3 buku berbahasa Malaysia itu ialah Islamic Renaissance Front (IRF), sebuah NGO Islam yang dipengerusikan Dr Farouk.
‘Lebih banyak rasuah berbanding masa lain dalam sejarah’
Pada majlis pelancaran bukunya pada 2015, Zaid berkata, Malaysia semakin berpecah dari segi kaum, agama dan kelas.
“Kita mempunyai lebih banyak rasuah berbanding masa lain dalam sejarah. Ketamakan menjadi satu cara hidup. Demokrasi dan kedaulatan undang-undang diketepikan.
“Jakim yang mendakwa dirinya pelindung Islam, lebih terbabit dalam perniagaan besar dan lawatan luar negara daripada mempromosikan prinsip agama,” katanya merujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Ini sangat bertentangan dengan kerajaan Islam. Islam adalah agama murni, suci dan sederhana. Ia agama menggalakkan keamanan, mempromosikan kehormatan dan integriti.”
Bekas menteri itu berharap bukunya menjadi permulaan satu perbualan ketika itu berkata: “Jika idea Islamisasi adalah mempromosikan Malaysia sebagai negara mencontohi kebaikan agama, maka kita sudah gagal.”