
“Pendidikan dibina atas kasih sayang. Bagaimana mungkin untuk ibu bapa ataupun guru menampar muka orang yang dia kasihi?
“Mungkin kadang-kala atas perasaan marah, namun kemarahan dalam kehidupan ini hendaklah dikawal agar tidak melanggar batasannya.
“Seperti mana cinta, sedih, cemburu dan perasaan yang lain ada kawalannya, demikianlah kemarahan dalam diri seseorang,” tulisnya menerusi Facebook hari ini.
Katanya, Islam membolehkan ibu bapa merotan anak-anak tetapi dengan beberapa syarat, antaranya bukan dipukul di bahagian muka dan mana-mana anggota badan yang boleh mendatangkan kecacatan kekal atau serius.
“Nabi Muhammad juga melarang kita memukul, menampar atau mencederakan muka sesama insan sekalipun di medan peperangan. Ini kerana muka merupakan tempat kemuliaan seseorang,” katanya yang turut memetik beberapa hadis tentang larangan memukul muka.
Beliau berkata Islam mengajar umatnya berdisiplin dalam semua tindakan terutama ketika sedang marah, termasuk ketika bertempur di medan perang.
“Maka apatah lagi mereka yang bukan musuh yang tidak bertarung dengan kita. Anak, isteri dan juga murid bukanlah musuh kita, maka lebih wajar untuk tidak memukul ataupun menampar muka mereka,” katanya.
Oktober lalu, seorang guru sekolah, Azizan Manap atau Cikgu Azizan dihadapkan di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan menampar muka seorang pelajar. Jika disabit, beliau boleh dihukum setahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Sehari sebelum perbicaraan mahkamah, rakan sekerja Azizan mengajak warga guru seluruh Malaysia hadir ke Mahkamah Majistret di Seremban untuk menunjukkan sokongan moral kepada rakan mereka.
Penyokongnya melancarkan kempen di media sosial dengan hashtag “PrayForCikguAzizan”.
Bagaimanapun pada 19 Disember, Mahkamah Majistret Seremban menarik balik pendakwaan dan menggugurkan tuduhan terhadap Azizan yang memukul pelajarnya.