
Presiden Mazlan Aliman berkata kesimpulan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki sejurus selepas negara digemparkan dengan isu Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah bernilai RM270 juta kepada sebuah syarikat swasta menimbulkan lebih banyak persoalan.
“Sepatutnya penyiasatan harus dilakukan terlebih dahulu sebelum apa-apa kesimpulan,” kata Mazlan kepada pemberita di depan ibu pejabat SPRM hari ini.
“Sebab inilah kenapa kita mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Felda, khususnya di zaman Tan ri Isa Samad, mesti dilakukan.”
Anak hari ini tampil bersama-sama Pemuda Pakatan Harapan untuk menyerahkan memorandum mendesak agensi anti-rasuah itu meneruskan siasatan ke atas transaksi itu.
Selepas Berita Harian (BH) membongkar kes tersebut, SPRM mengumumkan tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa selepas meneliti dokumen dan maklumat berkaitan selepas menerima laporan 4 bulan lalu. Azam dilaporkan berkata, kes menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan tertakluk bawah siasatan polis.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.
Kes transaksi tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dilaporkan berlaku tanpa Felda menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu.
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad “terpegun” pindah milik tanah institusi kerajaan boleh dilakukan begitu mudah. Beliau mula menyedari perkara itu pada akhir Januari.
Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.
Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.
Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.
“Kesan daripada PA itu adalah memberikan kuasa, bukan sahaja membangunkan tanah itu, malah memberi kuasa memindah milik tanah,” kata Naib Ketua Pemuda PH Faiz Fadzil selepas penyerahan memorandum hari ini.
“Apabila dijual pada pihak ketiga, wang RM270 juta tidak dibayar dan tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadap Tan Sri Isa Samad.”
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun 2017 serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga Ogos 2017.

Terbaru, BH melaporkan sumber mendakwa syarikat yang terbabit dalam isu pindah hak milik tanah Felda untuk pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) itu tidak mempunyai latar belakang dan pengalaman mengendalikan projek pembangunan mega.
Sumber BH mendakwa syarikat itu ialah sebuah syarikat hiasan dalaman. Sumber BH turut mengesyaki syarikat tersebut mempunyai hubungan meragukan dengan Pejabat Tanah Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyebabkan ia diberikan taraf “Plot Ratio 10 – kelulusan segera DO”.
Laporan: Kenapa syarikat hiasan dalaman ambil alih, majukan tanah Felda?