Islam itu mudah, tak perlu dapur asing, kata saudara baru di hari Krismas

Islam itu mudah, tak perlu dapur asing, kata saudara baru di hari Krismas

Hubungan Grace Aisyah dan keluarganya rapat dan mesra kerana mengamalkan nilai toleransi yang dianjurkan Islam.

Tiada masalah makan dan minum, kata Grace sambil menggayakan topi Santa.
Tiada masalah makan dan minum, kata Grace sambil menggayakan topi Santa.
PETALING JAYA:
Hubungan Grace Aisyah Humairah Kedayan dan ahli keluarga yang bukan Islam rapat dan mesra setiap tahun kerana nilai toleransi yang ditekankan Islam.

Malah, hubungan Grace dan keluarga kekal kerana mengamalkan nilai bertolak-ansur, hormat-menghormati, dan kasih sayang seperti yang dianjurkan Islam.

“Kasih sayang kami sekeluarga tidak pernah pudar,” katanya kepada FMT. “Walau sudah memeluk Islam, saya tidak harus menjauhkan diri daripada keluarga.”

“Malah Islam tidak membenarkan kita menzalimi orang bukan Islam dan amat menitikberatkan agar kita sentiasa melakukan kebaikan kepada orang bukan Islam.”

Grace, 27, memeluk Islam pada 2014. Walaupun berasal dari keluarga Kristian, Grace berkata keluarganya memahami dan menghormati Islam malah banyak memberi bantuan dan sokongan moral kepadanya sebagai saudara baru.

Berbeza agama ternyata bukan penghalang dalam hubungan mereka, kata Grace, yang pulang ke kampung halaman di Sarawak untuk meraikan keluarga dan sanak saudara di hari Krismas tanpa ragu.

“Sebagai orang Islam, saya juga harus mengambil kira soal akidah, untuk mengucapkannya atau merayakannya” tambahnya. “Kalau sambutan Krismas yang berunsur keagamaan itu sudah jelas memang tidak boleh. Sekadar makan bersama adalah tidak salah.”

“Kita harus sedar mengenai itu. Ramai orang tidak memahami itu.”

Tidak perlu dapur asing

Bagi Grace, ketegasan dan kelembutan yang ada dalam Islam itu menjadi panduan dirinya. “Islam ini mudah namun jangan ambil mudah.”

Satay ayam dan kelupis (sejenis pulut panggang tradisional) serta pilihan minuman yang halal untuk ahli keluarga beragama Islam.
Satay ayam dan kelupis (sejenis pulut panggang tradisional) serta pilihan minuman yang halal untuk ahli keluarga beragama Islam.

Bercakap mengenai makan minum, Grace berkata ia tidak pernah menjadi masalah buat dirinya dan keluarga. Beliau dan keluarga tidak mengasingkan masakan, makanan dan minuman, peralatan dan dapur.

“Tidak perlu 2 dapur untuk membezakan yang halal atau haram. Kami juga tidak membeli pinggan mangkuk, cawan, sudu baharu. Tidak ada masalah bagi kami kerana peralatan itu tidak haram. Kalau sudah terjejas macam mana? Cuci sahajalah apa susah.”

Beliau berkata keluarganya akan membeli makanan yang boleh dinikmati semua supaya mereka dapat makan bersama.

“Tidak dinafikan keluarga saya ada yang akan membeli minuman alkohol, namun saya bersyukur kerana mereka menghormati saya, kakak dan adik kembar yang telah memeluk agama Islam.

“Mereka yang minum minuman keras akan minum. Kami tak akan sentuh mana yang haram bagi kami, malah ada keluarga saya yang bukan Islam tidak minum minuman keras.”

Hormat tapi jaga batas

Grace tidak mahu melepaskan peluang untuk meraikan acara keluarga seperti majlis perkahwinan. Beliau mengambil sikap untuk menghormati budaya dan agama asal ahli keluarga lain, sambil menjaga batas sebagai orang Islam.

Grace (tengah), abangnya Desmond Kedayan (dua dari kriri) dan ibunya, Singar Ak Salam (kanan) pada majlis perkahwinan kembarnya.
Grace (tengah), abangnya Desmond Kedayan (dua dari kiri) dan ibunya, Singar Ak Salam (kanan) pada majlis perkahwinan kembarnya.

“Mereka dengan kepercayaan mereka, berdoa dan sebagainya. Saya dengan kepercayaan saya. Masih tidak memesongkan akidah sebagai orang Islam.

Grace (kiri) bersama kembarnya Melissa Joy Kedayan menziarah kubur bapa sambil membawa jambangan bunga, manakala hiasan lilin dibuat abangnya yang beragama Kristian.
Grace (kiri) bersama kembarnya Melissa Joy Kedayan menziarah kubur bapa sambil membawa jambangan bunga, manakala hiasan lilin dibuat abangnya yang beragama Kristian.

“Menghadiri pengebumian juga tidak salah, cuma kena tahu batas sebagai seorang Islam, sebaliknya ucapkan takziah. Saya dan adik beradik juga sering melawat kubur mendiang ayah, kami hanya datang menziarah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.