
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira 2.45 pagi Jumaat lepas mengenai seorang bayi perempuan berusia 10 bulan muntah dan lampinnya mempunyai kesan darah.
“Bayi itu kemudiannya dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum doktor memaklumkan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya dipetik Sin Chew Daily.
Beliau berkata, laporan polis dibuat selepas hasil pemeriksaan doktor menemui tanda lebam di perut dan belakang badan bayi itu yang dipercayai kesan penderaan.
Polis kemudiannya menahan ibu bayi berusia 21 tahun dan teman lelakinya berusia 25 tahun di Ampang serta Kajang semalam untuk membantu siasatan.
Katanya, 2 suspek ketika disoal siasat polis menipu mangsa dijaga pengasuh, bagaimanapun hasil siasatan mendapati mereka langsung tidak mengambil pengasuh.
Dzaffir berkata, hasil siasatan polis mendapati wanita itu mempunyai 3 anak bersama bekas suaminya dan selepas bercerai, dia mengenali suspek lelaki itu dan tinggal bersamanya.
“Dua lagi kanak-kanak berusia 3 dan 5 tahun turut dibawa ke HKL untuk menjalani pemeriksaan,” katanya merujuk 2 lagi anak wanita itu.
Beliau berkata, 2 suspek itu mempunyai rekod jenayah membabitkan kecurian dan dadah.
Katanya, mereka direman 4 hari sehingga 27 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.
Beliau berkata, polis juga sedang mengesan bapa kandung serta saudara bayi itu untuk membantu siasatan.