
Bertempat di Jalan Ampang dekat persimpangan Jalan Tun Razak, pusat beli-belah itu membuka pintu kepada orang ramai pada 1973. Ia amat popular dengan keluarga diplomat, orang kaya dan warga asing yang tinggal di Ampang dan sepanjang Jalan Tun Razak serta Jalan Ampang.
Kejayaan Ampang Park turut membuka laluan kepada pusat beli-belah lain yang dibuka pada 1970-an dan masih beroperasi sehingga hari ini, termasuk Kompleks Pertama di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 1976 dan Plaza Sungei Wang di Jalan Sultan Ismail serta Jalan Bukit Bintang pada 1977.
Pada 1 Jun lalu, tindakan undang-undang yang diambil pemilik premis di Ampang Park untuk mencabar pengambilan tanah bagi pembinaan Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Ampang Park, berakhir.
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 39 pemilik strata dan penyewa untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan bagi semakan kehakiman, tahun lalu.
Pemilik dan penyewa memulakan tindakan perundangan mereka pada 8 Januari 2016 dengan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan kelulusan merobohkan pusat beli-belah itu untuk memberi laluan kepada pembinaan laluan pejalan kaki bawah tanah yang menghubungkan stesen MRT baru ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park.
Mereka menamakan Kementerian Wilayah Persekutuan, kerajaan, pengarah tanah dan galian Wilayah Persekutuan serta pentadbir tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.
Bagaimanapun, kumpulan itu kemudiannya mengeluarkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.
Mereka memohon pengisytiharan yang Borang D bertarikh 17 Ogos 2015 dan Borang E bertarikh 22 Oktober 2015 di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dikeluarkan responden tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.
Bagaimanapun, pada 30 Jun 2016, Mahkamah Tinggi KL menolak permohonan mereka selepas memutuskan pengambilan tanah itu dilakukan dengan sempurna dan mengikut undang-undang.
Hakim, Datuk Hanipah Farikullah dilaporkan bersetuju dengan hujah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), yang dinamakan sebagai responden ketiga, objektif pengambilan tanah itu atas faktor keselamatan.
Katanya, pengambilan tanah oleh kerajaan mengikut undang-undang dan bertujuan menjadikan projek itu lebih efisien.
Menurut MRT Corp, Stesen MRT Ampang Park ialah stesen penting untuk laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya kerana ia adalah satu-satunya stesen di mana penumpang boleh bertukar kepada LRT Kelana Jaya.