
Gerakan itu mahu kerajaan menyediakan lesen berbeza yang hanya membenarkan arak beralkohol tinggi dijual di kedai tertentu.
Presiden P David Marshel berkata arak beralkohol tinggi di kedai runcit dan pasaraya dijual pada harga yang murah.
“Itu antara sebab mengapa ramai belia ketagih arak dan mati sebelum usia 40 tahun.”
David berkata oleh kerana arak beralkohol tinggi murah dan mudah didapati, ia senang untuk dibeli golongan belia.
Undang-undang melarang penjualan alkohol kepada pelanggan bawah usia 21 tahun tidak banyak membantu, katanya.
“Tiada penguatkuasaan, itu masalahnya.
“Jadi, pemilik pasaraya dan kedai runcit tidak halang kanak-kanak membeli arak kerana akhirnya ia mengenai mengaut untung.”
Beliau berkata membenarkan arak beralkohol tinggi dijual di kedai runcit tertentu akan memudahkan pemantauan.
“Kalau kita nampak pelanggan bawah umur masuk ke premis itu, kita akan tahu dia mahu melakukan sesuatu yang tidak baik dan kita boleh menghalang mereka.
“Kita akan dapat memantau kedai-kedai itu dengan lebih baik kerana kita tahu orang ramai yang memasuki kedai itu hanya mahu membeli arak beralkohol tinggi.”
Beliau berkata jualan bir di pasaraya dan kedai runcit bukan masalah besar kerana walaupun bir dijual murah, ia tidak mudah memabukkan seperti arak beralkohol tinggi.
“Jadi pelanggan bawah umur terpaksa beli banyak bir sebelum dia boleh mabuk kerana kandungan alkohol lebih rendah berbanding arak beralkohol tinggi.”
Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkata Gerakan Anti-Arak Malaysia belum terima sebarang respon daripada kerajaan Pulau Pinang.
“Kita berharap kerajaan negeri akan pertimbangkan cadangan kami kerana kita sedang menangani masalah yang memberi kesan pada anak-anak kita.”
Channel NewsAsia baru-baru ini menyiarkan komentar oleh Lambert Low, seorang perunding di Perkhidmatan Menguruskan Ketagihan Kebangsaan di Institut Kesihatan Mental Singapura.
Low berkata sepanjang pengalamannya sebagai perunding kesihatan, beliau ditemui anak muda yang memberitahu mereka membeli bir dalam kontainer 3 liter atau “tower” (menara).
Beliau berkata demikian walaupun angka berkenaan masalah minum arak mencadangkan meminum arak bukan masalah di Singapura. Kajian Kesihatan Mental Singapura 2010 menunjukkan penyalahgunaan alkohol di republik itu pada 3.1% dan kadar kebergantungan pula 0.5%.
Beliau berkata bir lebih murah kalau dibeli pada jumlah yang banyak. Anak-anak muda yang berminat akan membeli alkohol pada jumlah yang banyak, mendedahkan mereka kepada meminum arak mengikut nafsu.
David tidak memberikan statistik tetapi mendakwa ada masalah minum arak yang serius melibatkan anak muda di Malaysia.