3 beradik maut, MPV terbabas ke parit

3 beradik maut, MPV terbabas ke parit

Ibu saudara mangsa, Salma Ibrahim, 58, dan anaknya Nurul Aliyani Zawawi, 25, turut cedera dalam kemalangan itu dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

kemalangan-maut-kuantan
KUANTAN:
Tiga beradik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke dalam parit di Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Kampung Batu Putih di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata, mereka yang terkorban ialah Wan Nur Athirah Wan Kamaruzzaman, 27, yang memandu kenderaan itu, Wan Nur Afifah, 28, dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, 14.

Kemalangan yang berlaku pada 5 pagi itu turut menyebabkan ibu saudara mereka, Salmah Ibrahim, 58, serta anaknya Nurul Aliani Zawawi, 25, cedera di muka dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Kemalangan dipercayai berlaku akibat pemandu gagal mengawal kenderaan menyebabkan kenderaan jenis Chery Eastar yang dalam perjalanan dari Pekan ke Kuantan itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar batu penghadang parit.

“Kenderaan itu kemudiannya terbalik ke dalam parit. Tiga beradik itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya semasa dihubungi.

Beliau berkata, kejadian hanya disedari orang awam yang keluar ke tempat kerja pada 7.15 pagi.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika hujan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seorang saudara mangsa yang enggan dikenali semasa ditemui di Jabatan Forensik HTAA berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu dari Melaka.

“Mereka ke Melaka untuk menziarahi sanak saudara di sana selepas menghantar ibu bapa mereka menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu.

“Saya tahu mengenai kejadian ini kira-kira 7 pagi selepas dihubungi Nurul Aliani yang dapat keluar daripada kenderaan beberapa jam selepas kenderaan itu berada di dalam parit.

“Luluh hati saya mendengar berita itu…saya tidak tahu bagaimana hendak beritahu ibu bapa mereka yang sekarang berada di Mekah.”

Katanya, ibu bapa mangsa mengerjakan umrah bersama seorang lagi anak perempuan mereka yang dikenali sebagai Wan Nur Aqilah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.