
“Sudah pasti ada arahan tangan ghaib mengarahkan pemusnahan bahan bukti hingga menyebabkan tiada sebarang pendakwaan walaupun sebelum ini ada tangkapan dilakukan,” kata Pengerusi PKR Perlis, Faisol Abd Rahman dalam kenyataan kepada FMT.
“Persoalannya, siapa tangan tangan ghaib yang melakukan semua ini sehingga pihak berkuasa terpaksa tunduk melutut mendiamkan diri?”
Semalam, NST melaporkan hasil siasatan 2 tahun sepasukan wartawan mereka mendapati pihak berkuasa cuba menangguhkan pengumuman tentang penemuan kubur beramai-ramai selama kira-kira 4 bulan.
NST melaporkan polis juga membersihkan kawasan di mana kubur ditemui sehingga membinasakan pelbagai bukti jenayah.
Penemuan kubur 130 mayat mangsa pemerdagangan manusia diumumkan pada Mei 2015 oleh ketua polis negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Bagaimanapun, NST berkata polis sebenarnya sudah pun mengetahui kewujudan kubur beramai-ramai di kawasan hutan di sempadan Thailand-Malaysia seawal Januari 2015.
Malah, NST turut berkata ia terpaksa mengelak daripada melaporkan sesuatu yang dimaklumkan kepadanya oleh Khalid, sebagai memenuhi janji kepada bekas KPN itu untuk tidak menerbitkannya. Khalid bersara September lalu selepas 40 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.
Faisol berkata isu pemerdagangan manusia di Wang Kelian sudah memburukkan nama Malaysia, tetapi mempersoalkan ketiadaan tindakan serius.
“Atau, apakah ada tindakan terancang sembunyi bukti?” soalnya.
Menurutnya, mustahil pihak berkuasa tempatan atau pihak keselamatan sempadan tidak tahu kewujudan kem menempatkan pendatang asing secara haram oleh pedagang manusia.
“Apakah tidak ada laporan diberikan pihak berkuasa yang melakukan rondaan sempadan selama ini?
“Amat ganjil dan amat amat tidak masuk akal, tidak lapuran atau bukti kukuh.”
Faisol berkata di sebalik suara lantang Malaysia “cuba menjadi hero” dalam isu Rohingya dan Palestin, kerajaan leka dan ambil mudah dalam mencari dalang di sebalik lebih 130 mayat warga asing yang ditemui di Wang Kelian.
“Saya mendesak PDRM di bawah kepimpinan baru segera bertindak membongkar dan menyiasat siapa dalang kejahatan yang sanggup mengambil keuntungan kekayaan hasil dari pemerdagangan manusia,” kata Faisol.
Semalam, kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty, yang membandingkan respons Malaysia dengan tindakan Thailand yang sudah pun menyabitkan lebih 62 individu atas penemuan kubur serupa di negara itu, menggesa Putrajaya menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.
“Laporan NST itu mengesahkan kecurigaan terhadap pakatan sulit pihak berkuasa, dan paling mengejutkan, siasatan yang cuba menutup keburukan dan pendakwaan sambil lewa terhadap beberapa warga asing,” kata Lawyers for Liberty (LFL) dalam kenyataan.
“Kerajaan mesti menunjukkan iltizam politik untuk bertindak dan mempertanggungjawabkan semua yang terlibat, tanpa mengira jawatan, status atau hubungan,” kata Pengarah LFL, Eric Paulsen.