
Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Chim Lee, Tan Weng Siang berkata, semua 37 keluarga itu yang sudah 40 tahun tinggal di sana tidak akan berpindah, selagi tidak mendapat pampasan rumah yang dijanjikan pemaju.
“Kami difahamkan Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan telah memberikan Lot 80782 yang merupakan tapak Kampung Chim Lee kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan pembinaan Rumawip.
“Pihak kami tiada halangan bagi pihak DBKL melaksanakan projek pembinaan Rumawip di tapak itu dengan syarat hak dan kebajikan kami selaku penghuni Kampung Chim Lee selama 40 tahun dilindungi,” katanya pada sidang media di luar Menara DBKL.
“Namun, demi keuntungan peribadi, pemaju yang dilantik untuk memajukan tapak Kampung Chim Lee, Liberty Triangle Sdn Bhd bertindak bercanggah dengan dasar negara, di mana hak dan kebajikan kami selaku penghuni setempat tergadai tanpa mendapat pampasan sewajarnya.”

Tan berkata, dalam kes pengambilan tanah lain, kerajaan akan memberi pampasan kepada penghuni bagi memastikan mereka tidak hilang tempat tinggal.
“Sehubungan itu, bagi mengelakkan kami yang merupakan golongan kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan menjadi ‘homeless’ setelah kehilangan rumah, kami mohon Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengambil tindakan tegas ke atas pemaju yang cuba merosakkan imej kerajaan dan memberikan pampasan rumah kepada kami.”
Penduduk itu turut mengemukakan 3 tuntutan dalam memorandum yang diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz dan menteri Wilayah Persekutuan hari ini.
Mereka meminta DBKL melantik pemaju baru yang lebih pihatin, memandangkan Liberty Triangle Sdn Bhd gagal menyelesaikan isu perumahan di Kampung Chim Lee.
“Kedua, memastikan semua penduduk ditawarkan Rumawip yang bakal dibina sebagai rumah gantian di tapak sekarang.

“Ketiga, menyediakan tempat tinggal kepada penduduk sementara menunggu pembinaan rumah gantian siap.”
Katanya, pemaju memberi notis berpindah kepada penduduk pada Mac 2016 dan bertindak membawa isu itu ke mahkamah di Jalan Duta yang akan mengadakan prosiding pada 28 dan 29 Disember ini.
Seorang penduduk Kampung Chim Lee, Wong Luk Yan, 67, berkata mereka tiada tempat berteduh jika pemaju tidak memberikan pampasan rumah.
“Kalau ambil tanah kami dan halau kami, nak duduk mana? Saya sudah duduk di situ 40 tahun lebih. Saya tinggal dari muda lagi sampai saya tua sekarang. Hati sakit dan selalu nangis bila fikirkan masalah ini.
“Kalau dapat ganti rumah baru, saya boleh terima untuk teruskan hidup saya.”