Bekas tentera: Pandangan kami ikhlas, tak berniat bangkit sentimen kaum

Bekas tentera: Pandangan kami ikhlas, tak berniat bangkit sentimen kaum

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan berkata, pihaknya tidak mahu melihat politik kebencian memusnahkan negara, sebaliknya mengajak pemimpin memikirkan strategi untuk menarik bukan Melayu menyertai ATM.

Mohd-Arshad-Raji_hissamhuddin_600
PETALING JAYA:
Selepas diberikan amaran supaya tidak menimbulkan sentimen perkauman atau agama dalam isu orang bukan Melayu tidak menyertai pasukan keselamatan, Persatuan Patriot Kebangsaan mempertahankan diri dengan berkata, jika berdepan ancaman, mereka ialah orang pertama yang akan mengangkat senjata mempertahankan negara.

“Kami cinta dan menghargai keamanan di negara ini. Kami adalah veteran dan pegawai polis bersara yang telah memberikan sumbangan besar kepada keamanan hari ini. Kami pernah berjuang melawan musuh negara. Kami berkhidmat kepada raja dan negara dengan bangga dan terhormat.

“Kami sekali-kali tidak mahu melihat politik kebencian memusnahkan negara kita yang tercinta ini,” kata Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memberi amaran kepada pertubuhan itu semalam, supaya tidak menimbulkan sentimen perkauman atau agama menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Ini sesuatu yang kita akan nampak dengan lebih kerap bila dekat dengan pilihan raya – politik perpecahan, kebencian, kaum dan agama. Ini fenomena biasa oleh pembangkang dan mereka yang tidak menyokong kerajaan. Itu sangat menjejaskan dan berbahaya.

“Saya ingin menasihatkan mereka, kalau nak main perkara yang berbaur perkauman dan keagamaan, kalau nak berpolitik pun mesti ada had dan batasannya.”

Menteri pertahanan itu menjawab kenyataan Arshad yang menjelaskan antara sebab orang bukan Islam mengelak menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ada pembahagian mengikut garis etnik yang jelas dalam pasukan keselamatan itu.

Hishammuddin berkata, mencapai keseimbangan kaum yang adil dalam ATM ialah sebahagian daripada penunjuk prestasi utama beliau, tetapi kerajaan tidak boleh memaksa orang bukan Melayu menyertai ATM.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, kenyataan mereka pada Selasa lalu ialah pandangan ikhlas Patriot.

“Ia untuk membantu mereka yang berkuasa berfikir secara mendalam tentang masalah ini, iaitu berfikir bersama veteran agar satu strategi lebih komprehensif dapat digunakan untuk menarik bukan Melayu menyertai pasukan keselamatan.”

Semalam, Arshad dilaporkan berkata, dari 1960-an hingga penghujung 70-an, kakitangan ATM bukan Melayu membentuk 30% daripada keseluruhan tenaga kerja, manakala tentera laut dan udara mempunyai peratusan lebih tinggi sebelum statistik itu turun perlahan-lahan kepada sekitar 5% sekarang.

Katanya, selain pembahagian mengikut garis etnik yang jelas, isu kenaikan pangkat juga merupakan satu daripada faktornya.

Beliau berkata, orang bukan Melayu tidak kisah jika pegawai Melayu yang layak di bawah mereka diberi kenaikan, tetapi lama-kelamaan pegawai “sangat tidak layak” pula mendapat kenaikan pangkat.

Katanya, sebab lain ialah tentera semakin tertumpu kepada agama Islam mulai akhir 1980-an menyebabkan orang bukan Melayu rasa terpinggir.

Arshad berkata, ahli politik juga perlu dipersalahkan kerana mempertikaikan kesetiaan orang bukan Melayu, sedangkan patriotisme orang bukan Melayu, khasnya orang Cina dan India dalam ATM tidak pernah menjadi isu.

Sebab orang bukan Melayu tidak sertai tentera

Hishammuddin beri amaran jangan timbulkan sentimen kaum, agama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.